PETALING JAYA, 26 Julai 2024 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) telah menyediakan pasukan jurutera rangkaian, yang dikenali sebagai Skuad 5G, yang ditugaskan untuk menguji prestasi rangkaiannya di seluruh negara dan memastikan tahap perkhidmatan sepadan dengan cita-cita dan standard kualiti yang diingini. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada integrasi dan pemodenan rangkaian (NIM) yang berterusan untuk membina rangkaian digital terkemuka Malaysia.
Aktiviti Skuad 5G melibatkan pengurusan dan ketua-ketua jabatan CelcomDigi turun padang bersama-sama bertemu para pelanggan di seluruh negara untuk mengambil tahu pengalaman mereka menggunakan rangkaian CelcomDigi. Pasukan ini juga menjalankan ujian kelajuan rangkaian dan menilai kepuasan pelanggan di pelbagai lokasi di kawasan yang telah menjalani NIM.
Awal minggu ini, pasukan Skuad 5G CelcomDigi telah menguji rangkaian yang baru dimodenkan di Pulau Pinang, berikutan penyelesaian NIM di negeri tersebut. Sebelum ini, para pengurusan dan ketua jabatan juga telah ke beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk bertemu pelanggan dan peniaga sambil menilai prestasi rangkaian di sekitar kawasan ini. Aktiviti ini akan diteruskan ke negeri-negeri lain di rantau Timur dan Selatan dalam beberapa bulan akan datang, sebagai salah satu komitmen syarikat untuk memantau dan meneliti prestasi rangkaiannya di samping menyampaikan pengalaman rangkaian berkualiti tinggi serta konsisten untuk semua rakyat Malaysia.
© Copyright 2024 CelcomDigi Berhad (Formerly known as Digi.Com Berhad) [Registration No. 199701009694 (425190-X)]. All Rights Reserved.