Newsroom

Setakat mana rakyat Malaysia faham tentang privasi data – CelcomDigi ingin tahu

May 5, 2025

Hasil kaji selidik akan mengenal pasti jurang, membimbing pembangunan inisiatif privasi berfokuskan pengguna serta meningkatkan kesedaran dan sokongan usaha advokasi.

PETALING JAYA, 5 MEI 2025 – Sejajar dengan usaha negara dalam melaksanakan pembaharuan dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2025, adalah penting bagi rakyat  untuk memahami asas privasi, hak mereka dan mengetahui cara mengurus data peribadi masing-masing. Menyedari kepentingan ini, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) hari ini melancarkan Kaji Selidik Kesedaran Privasi Kebangsaan 2025 yang komprehensif.  

Kaji selidik ni bertujuan menilai tahap pengetahuan dan kefahaman awam tentang pelbagai perkara berkaitan privasi, termasuk keyakinan pengguna terhadap cara pihak perniagaan mengurus data peribadi. Maklumat dan wawasan yang diperoleh daripada kajian ini boleh membantu pembuat dasar, pengawal atur, peniaga, dan pembela pengguna mengenal pasti jurang kesedaran, merangka kempen pendidikan, memperkasa amalan perlindungan data bagi menangani kegusaran awam secara lebih baik serta membina keyakinan rakyat terhadap landskap privasi Malaysia yang pesat berkembang.  

Kajian ini menyasar sebanyak 10,000 maklum balas daripada rakyat Malaysia berumur 18 ke atas dan akan dijalankan menerusi pelbagai saluran termasuk universiti serta Pusat Penyebaran Maklumat Kebangsaan (NaDi) atau pusat internet kendalian CelcomDigi.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi, Joachim Rajaram berkata, “Melindungi privasi dan data peribadi kian meruncing kerana interaksi digital kini menjadi aspek utama kehidupan harian. Inisiatif ini suatu langkah penting bagi memupuk keyakinan rakyat terhadap masa depan dunia digital. Lantaran itu, perlu bagi kita mempertingkat kefahaman pengguna terhadap perkara asas privasi, hak-hak mereka dan landskap privasi yang kian berubah supaya pengguna dilengkapi keupayaan melindungi diri masing-masing dengan lebih baik. Kajian ini boleh memberikan wawasan yang boleh mendorong tindakan seluruh ekosistem – pihak kerajaan, para profesional dan pentadbir urus data, ahli akademik, serta warga perniagaan – bagi memastikan kita memiliki kerangka kerja matang yang teguh dan berkesan sambil mempromosi kesedaran dan advokasi privasi yang lebih mantap. Tambahan pula, kita masih belum miliki data terkini mengenai tahap kesedaran privasi di Malaysia.”

Membina masyarakat digital dipercayai

CelcomDigi amat komited dalam membina masyarakat digital yang dipercayai menjadikan privasi dan perlindungan data sebagai tunjang kepada segala tindakan pengguna. Sebagai usaha membina dan mengekal keyakinan pelanggan, CelcomDigi telah meringkaskan Notis Privasi kepada bentuk infografik yang mudah difahami dan juga diterjemah dalam bahasa Tamil dan Mandarin. Infografik ini boleh dimuat turun dari laman web tadbir urus CelcomDigi di www.corporate.celcomdigi.com/company/governance.

RakyatMalaysia berumur 18 tahun ke atas digalak menyertai kaji selidik ini supaya dapat menilai tahap pengetahuan privasi data masing-masing. Kaji Selidik Kesedaran Privasi Kebangsaan 2025 boleh diakses di SINI dan tarikh tutupnya adalah pada 30 Jun 2025.