Newsroom

Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan diteruskan di Perlis

May 20, 2023

PERLIS, 20 Mei 2023 – Pada hari ini telah berlangsung program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perlis. Program anjuran CyberSecurity Malaysia, CelcomDigi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersama Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) serta sokongan dari Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) turut mendapat kerjasama dari Kerajaan Negeri Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). 

Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 dilaksanakan untuk menyebarluas informasi, memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna khususnya masyarakat di negeri Perlis tentang kaedah mengenali panggilan scam, tatacara serta modus operandi ancaman scam terkini selain berkongsi tips dan garis panduan penggunaan teknologi secara positif di samping memupuk sikap beretika dan bertanggungjawab pengguna agar mereka dapat menghindari dari menjadi mangsa scam atau ancaman siber yang lain.

Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Negeri Perlis yang diadakan di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Jenayah scam kini semakin serius dan menjadi ancaman utama kepada masyarakat di Malaysia. Dengan kerugian jutaan ringgit, jenayah scam bukan hanya memberi kesan negatif kepada mangsa malah berupaya merencat pembangunan negara. Program pada hari ini melibatkan ahli-ahli panel yang berkongsi ilmu dan maklumat tentang tentang kaedah mengenali panggilan scam, tatacara serta modus operandi scam terkini, berkongsi tips dan panduan penggunaan teknologi secara praktikal serta mudah difahami. Dengan usaha ini, kami berharap ianya dapat mengurangkan jumlah mangsa serta nilai kerugian serta dapat membangunkan satu ekosistem keselamatan siber yang progresif khususnya di negeri Perlis.” kata Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Haji Zulkifeli Mohd Zin (Bersara). 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, “CelcomDigi menekankan prinsip ACT (BERTINDAK) iaitu memupuk Kesedaran (Awareness), meningkatkan tahap Pematuhan (Compliance) dalam organisasi dan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan serta mengoptimumkan penggunaaan Teknologi (Technology) dalam mengenal pasti ancaman berpotensi dan menangani pelbagai jenis scam untuk membantu rakyat Malaysia kekal selamat daripada menjadi mangsa jenayah siber. Kami yakin bahawa kerjasama erat ini dapat membimbing dan memperkasa rakyat Malaysia dengan ilmu dan maklumat terkini dalam mengesan, mengelak dan melaporkan jenayah scam yang berleluasa.”

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat bulan Januari hingga Mac 2023 sebanyak RM250 juta kerugian direkodkan akibat pelbagai jenayah scam di Malaysia merangkumi jenis scam seperti Telecommunication Fraud (Talian/SMS) (2,469), penipuan kewangan dalam talian (898), Love Scam (244), e-Dagang (belian online) (3,110), pelaburan (931) dan pinjaman tak wujud (987). 

Manakala, pusat bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia telah menerima sebanyak 1,807 insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet dari bulan Januari hingga April 2023. Insiden tersebut meliputi penipuan (1,135), kod hasad (202), pencerobohan (187), berkaitan isi kandungan (147), percubaan pencerobohan (71), laporan kerentanan (30), spam (28) dan penafian perkhidmatan (7).

Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 merupakan salah satu inisiatif sempena sambutan Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day - SID) 2023 – Edisi Malaysia yang menjadi acara sambutan tahunan KKD melalui CyberSecurity Malaysia bertemakan ‘SIBER MALAYSIA MADANI: Sentiasa Bijak Sentiasa Selamat’. Selain Selangor dan Perlis, program ini akan turut diadakan di Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Dikeluarkan bersama oleh:
Jabatan Outreach & Komunikasi Korporat
CyberSecurity Malaysia

Jabatan Komunikasi
CelcomDigi