Newsroom

Perlindungan pelanggan dan data dengan tanggungjawab menjadi teras perniagaan bertanggungjawab CelcomDigi dalam era AI

November 5, 2026

Forum ’Responsible Business Day’ membincangkan perlindungan dalam penggunaan AI, privasi, keselamatan siber dan pertumbuhan digital mampan dengan kemajuan ESG sepanjang dua tahun

PETALING JAYA, 5 November 2026 – Kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah cara perniagaan beroperasi dan memberikan perkhidmatan kepada orang ramai. Dalam menerima guna teknologi ini secara bertanggungjawab, pengendali telekomunikasi mudah alih perlu membuat keputusan penting berkenaan penggunaan data, pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat serta bagaimana pertumbuhan digital dapat membawa manfaat kepada masyarakat.

Perkara ini menjadi tumpuan forum ‘Responsible Business Day 2026’ anjuran CelcomDigi Berhad (CelcomDigi). Forum tersebut menghimpunkan pakar-pakar bidang akademik, undang-undang, keselamatan siber, kelestarian dan industri untuk membincangkan bagaimana prinsip AI bertanggungjawab dapat diterapkan dalam piawaian dan amalan perniagaan.

Bertemakan ‘Tanggungjawab dalam Era AI’, forum ini turut menjadi landasan untuk CelcomDigi berkongsi kemajuan sepanjang dua tahun pelaksanaan strategi ESG lima tahunnya bagi membina masyarakat digital yang inklusif, mampan dan dipercayai. Perkongsian itu merangkumi perlindungan pelanggan, piawaian pembekal, tadbir urus AI serta kecekapan rangkaian dan penggunaan tenaga.

Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling berkata, “Cara kita menerima guna teknologi dan menyediakan perkhidmatan baharu berasaskan teknologi termaju kepada pelanggan sama pentingnya dengan peluang yang diwujudkan. Orang ramai perlu yakin bahawa data mereka dilindungi, organisasi bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat, dan perniagaan mengambil kira kesan pertumbuhan digital terhadap masyarakat secara menyeluruh. Kami sedar skala operasi kami membawa tanggungjawab yang besar. Ini bermakna kami perlu terus meningkatkan standard dalam perniagaan kami dan bekerjasama dengan pihak lain untuk menangani cabaran bersama. Forum ‘Responsible Day 2026’ ini menjadi ruang untuk membincangkan bagaimana usaha ini dapat diterapkan dalam keputusan harian organisasi. Melalui perkongsian pelbagai perspektif, kami berharap dapat menilai semula cara kami berfikir dan memperkukuh penerapan amalan perniagaan bertanggungjawab.”

Forum ini menampilkan penceramah daripada HELP University, Christopher & Lee Ong, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), CrowdStrike, Catalyze Transition dan Mondelēz Malaysia, bersama wakil-wakil CelcomDigi. Mereka membincangkan peranan pengawasan manusia dalam penggunaan AI, penggunaan data secara bertanggungjawab, daya tahan siber serta keperluan tenaga bagi menyokong pertumbuhan digital.

Di CelcomDigi, pendekatan ini diterjemahkan melalui kemajuan dalam empat keutamaan ESG:

  • Akses Digital yang Inklusif dan Selamat: CelcomDigi  telah mengesan dan memberi amaran bagi kira-kira 260 juta panggilan yang disyaki mempunyai unsur penipuan dan menyekat 22 juta SMS setiap bulan demi melindungi pelanggan. Langkah perlindungan ini disokong oleh usaha kesedaran awam yang berterusan, termasuk kempen Online Safety IRL 2.0 yang mencatatkan 22.3 juta tontonan kandungan kesedaran scam dan jangkauan terkumpul sebanyak 18.3 juta.
  • Rantaian Nilai Mampan: Syarikat berada pada landasan yang betul untuk memenuhi komitmen tahunan untuk menjalankan sebanyak 25,000 jam latihan dan 800 pemeriksaan pembekal bagi memperkukuh standard keselamatan dan amalan bertanggungjawab dalam kalangan pembekalnya.
  • Budaya tadbir urus dan prestasi: Rangka Kerja Tadbir Urus AI Bertanggungjawab yang dilaksanakan di seluruh syarikat menetapkan standard penerimagunaan AI, ketelusan dan akauntabiliti, termasuk dalam bidang yang keperluan kawal selianya masih berkembang. Latihan kesinambungan perniagaan, simulasi krisis dan ujian pemulihan bencana turut memperkukuh daya tahan operasi.
  • Kesan dan Tindakan Alam Sekitar: CelcomDigi mengurangkan pelepasan karbon daripada operasi dan tenaga elektrik yang dibelinya sebanyak 3.95% antara 2024 dengan 2025. Lebih 15,000 tapak rangkaian dilengkapi ciri penjimatan tenaga, manakala pelepasan bagi setiap terabait data yang digunakan berkurangan sebanyak 30% antara 2023 dengan 2025.

Melalui perkongsian kemajuan ini dan kerjasama berterusan merentas sektor, CelcomDigi berusaha memperkukuh amalan perniagaan bertanggungjawab serta menyokong pembentukan masyarakat digital yang lebih inklusif, selamat dan berdaya tahan.

‍