Newsroom

Pelanggan CelcomDigi boleh melaporkan kes ‘scam’ dengan mudah!

June 15, 2023

PETALING JAYA, 15 Jun 2023 - CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) memudahkan pelanggan untuk melaporkan kes penipuan atau aktiviti yang mencurigakan apabila mereka menghubungi pusat panggilan pelanggan Celcom atau Digi.

Dalam usaha untuk menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab, CelcomDigi mengamalkan sebuah prinsip yang berpaksikan ACT (Awareness, Compliance, Technology), yakni untuk mewujudkan kesedaran, meningkatkan tahap kepatuhan secara internal sambil menyokong badan penguatkuasa, dan memanfaatkan kuasa teknologi dengan cara yang tepat untuk memerangi ancaman siber serta terus membina kerangka perlindungan yang relevan untuk rakyat Malaysia.

Pilihan untuk melaporkan sebarang kes scam atau penipuan telah disertakan dalam menu khidmat pelanggan automatik yang dikenali sebagai Interactive Voice Response (IVR). Pilihan ini membolehkan pelanggan CelcomDigi yang ingin membuat laporan segera mengenai kes scam atau penipuan untuk hubungi pusat khidmat pelanggan mengikut rangkaian servis mereka, iaitu 019-6011111 untuk Celcom atau 016-2211800 untuk Digi.  

Apabila pelanggan memilih untuk melapor sebarang kes scam ataupun, panggilan atau SMS yang mencurigakan, mereka akan diberi dua pilihan iaitu:

  • Bagi kes scam atau penipuan yang tidak melibatkan akaun bank pelanggan seperti Spam SMS, Panggilan Penipuan, pautan mencurigakan atau iklan produk CelcomDigi yang mencurigakan, para pelanggan diberi panduan untuk membuat laporan secara dalam talian; manakala
  • Bagi kes scam atau penipuan yang melibatkan akaun bank pelanggan, mereka dinasihatkan untuk dail 997 bagi melaporkan kes tersebut kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk tindakan lanjut.

Secara alternatif, para pelanggan boleh melaporkan sebarang kes scam atau penipuan di laman sesawang Digi atau Celcom. Kesemua inisiatif ini adalah sebahagian kempen kesedaran anti-scam CelcomDigi yang sedang giat dilaksanakan untuk melindungi pelanggan, di samping memupuk sebuah ekosistem teknologi maklumat yang lebih selamat.

Melengkapkan masyarakat untuk memerangi scam melalui kesedaran berterusan

Dalam membantu masyarakat secara berterusan untuk meningkatkan daya tahan yang lebih kukuh terhadap taktik penipuan atau scam, CelcomDigi telah melancarkan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 (JAS23) bersama rakan kongsinya, CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF). Kempen jelajah kesedaran di seluruh negara telah bermula di Perlis bulan lepas dengan pelbagai aktiviti pendidikan untuk semua peringkat umur.

Sebuah risalah anti-scam, antara sumber lain, telah diterbitkan untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan yang betul untuk mengelak mereka daripada menjadi mangsa penipuan. Risalah ini memberikan maklumat mengenai jenis-jenis scam, cara mengenal pasti taktik penipu atau scammer, serta tips-tips pencegahan dan cara melaporkan scam.

Orang ramai juga boleh memuat turun pelbagai sumber keselamatan internet, termasuk buku panduan untuk ibu bapa dan kanak-kanak, infografik dan siri video daripada portal Safe Internet, atau mengetahui lebih lanjut tentang scam di laman sesawang Kekal Selamat atau Awas Always.