Newsroom

Forum Trust Circle CelcomDigi mendorong bicara mengenai kepercayaan dan amalan data bertanggungjawab

May 8, 2025

PETALING JAYA, 8 MEI 2025 – Kajian global jelas menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap perkhidmatan digital adalah prinsip penting bagi pengguna dan merupakan satu sentimen yang semakin dipacu oleh peningkatan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI). Dalam menangani perkara ini secara proaktif, para pemimpin dan pakar dari pelbagai industri menghadiri forum Trust Circle CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) edisi ketiga hari ini.

Forum ini bertujuan untuk memupuk perbincangan yang lebih mendalam mengenai advokasi amalan data bertanggungjawab merentas organisasi dan industry serta usaha kolektif melindungi masa depan digital kita dalam dunia yang semakin dipacu AI. Forum ini berlangsung pada waktu yang tepat ketika perniagaan dan institusi Malaysia menghadapi perubahan besar menerusi Akta Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 dan mengamalkan tadbir urus data yang kukuh.

Forum ini telah menampilkan barisan panel pakar yang pelbagai iaitu Farlina Said, Pengarah Dasar Siber dan Teknologi, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia; Shamsul Izhan Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan; dan Serene Kan, Rakan Kongsi dalam Kumpulan Amalan Harta Intelek & Teknologi, Wong & Partners. Mereka berkongsi pandangan mengenai cara mengharungi lanskap privasi yang kompleks dan kian berkembang di Malaysia, kepentingan peruntukan peraturan baharu, dan strategi untuk membina kepercayaan masyarakat dalam perkembangan teknologi baharu.

Ketua Pegawai Korporat CelcomDigi Joachim Rajaram berkata, “Melalui forum Trust Circle ini, kami telah mewujudkan satu ekosistem kukuh yang terdiri daripada pakar-pakar pelbagai sektor, dan fokus kami kini adalah untuk menangani cabaran kepercayaan terhadap teknologi baharu yang pesat berkembang. Daripada aspek membentuk dasar sehingga mengintegrasikan penggunaan AI yang beretika, setiap pemain dalam ekosistem ini mempunyai peranan penting masing-masing. Bersama-sama kita boleh menukar perubahan dan perkembangan dalam sudut pengawalseliaan menjadi peluang yang lestari dalam melindungi hak pengguna, membolehkan inovasi, dan memastikan masa hadapan digital yang dipercayai bagi seluruh rakyat Malaysia.”

Forum Trust Circle CelcomDigi ini telah menghimpunkan satu ekosistem pakar daripada sektor awam dan swasta, sekaligus menekankan komitmen syarikat dalam membina masa hadapan digital yang teguh dan dipercayai untuk seluruh rakyat Malaysia. Intipati dan kolaborasi dalam forum ini akan terus mendorong pembelajaran yang lebih baik dan penerapan amalan terbaik global dalam melindungi privasi, meningkatkan tadbir urus data, dan memperkukuh kepercayaan awam ketika Malaysia mengharungi lanskap digital yang semakin kompleks.

Menilai Kesedaran Awam Mengenai Privasi Data

CelcomDigi juga mengambil langkah untuk menilai kesedaran awam mengenai privasi data. Syarikat tersebut telah melancarkan Kaji Selidik Kesedaran Privasi Kebangsaan 2025 yang komprehensif untuk menilai pemahaman rakyat Malaysia tentang aspek asas privasi, hak privasi

mereka, dan cara mereka mengendalikan data peribadi mereka. Data dan maklum balas yang diperoleh daripada kajian ini akan membantu pembuat dasar, pengawal selia, perniagaan, dan pembela pengguna mengenal pasti jurang dalam kesedaran, mewujudkan kempen pendidikan, dan memperkukuhkan amalan perlindungan data untuk menangani kebimbangan awam serta membina kepercayaan yang kukuh dalam lanskap privasi yang kian berkembang di Malaysia.

Rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas digalakkan untuk menyertai kaji selidik ini untuk menilai pengetahuan mereka mengenai privasi data. Kaji selidik Kesedaran Privasi Kebangsaan CelcomDigi 2025 boleh diakses SINI dan akan ditutup pada 30 Jun 2025.