Newsroom

Filem ‘Nadi Inspirasi Kami’ CelcomDigi raikan keprihatinan petugas barisan hadapan

August 28, 2026

Berdasarkan kisah sebenar yang mengetengahkan usaha CDzen yang sentiasa menghulurkan bantuan dan berusaha keras untuk membantu pelanggan

PETALING JAYA, 28 Ogos 2026 – Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, CelcomDigi Berhad ("CelcomDigi") mempersembahkan ‘Nadi Inspirasi Kami’, sebuah filem khas yang diinspirasikan daripada pengalaman sebenar yang dilalui oleh warga kerjanya. Filem ini lahir daripada keyakinan bahawa peranan CelcomDigi melangkaui penyediaan rangkaian. Sebagai syarikat yang sentiasa dekat dengan pelanggan, CelcomDigi turut memainkan peranan dalam detik-detik penting kehidupan mereka, sambil menghimpunkan pengalaman yang terus memberi inspirasi kepada warga kerjanya. Mencerminkan wajah sebenar Malaysia, ‘Nadi Inspirasi Kami’ meraikan kepelbagaian budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat yang menjadikan negara ini unik, sambil menonjolkan semangat kebersamaan yang menyatukan kita semua.

Berdasarkan interaksi sebenar bersama pelanggan, ‘Nadi Inspirasi Kami’ mengetengahkan keprihatinan dan empati yang ditunjukkan oleh petugas barisan hadapan CelcomDigi yang secara sukarela berusaha keras untuk membantu mereka yang memerlukan. Walaupun setiap kisah membawa pengalaman yang berbeza, semuanya memperlihatkan bagaimana keprihatinan dan hubungan sesama insan terus membentuk kehidupan harian masyarakat Malaysia.

Kisah pertama menampilkan Parvinder Singh, yang menjadikan bahasa lebih daripada sekadar alat komunikasi. Beliau fasih bertutur dalam enam bahasa dan menggunakan kelebihan itu untuk mendekati pelanggan daripada pelbagai kaum, budaya dan latar belakang. Melalui perbualan yang ringkas dan mesra, beliau membantu pelanggan berasa lebih dihargai, difahami dan dialu-alukan.

Kisah kedua pula mengetengahkan Ruhanurbalqis Abdul Rahim dari Ipoh. Apabila mengetahui seorang pelanggan terlibat dalam kemalangan dan tidak dapat menghubungi ahli keluarganya, beliau terus atas inisiatifnya sendiri membantu pelanggan tersebut di hospital untuk mendaftar dan mengaktifkan peranti baharu, sekaligus membolehkan pelanggan itu kembali berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan sepanjang tempoh rawatannya.

Melengkapkan filem ini ialah kisah Nur Amiza binti Mohamad dari Kuala Terengganu. Dibesarkan oleh ibu bapa yang cacat pendengaran, beliau menyaksikan sendiri cabaran yang dihadapi mereka dalam kehidupan seharian, apabila komunikasi yang mudah sekalipun boleh menjadi sukar. Beliau mempelajari bahasa isyarat sejak kecil dan sehingga hari ini terus menggunakan kemahiran tersebut untuk menggalakkan komunikasi yang lebih inklusif. Kisah beliau membuktikan bahawa usaha memahami cabaran yang dihadapi orang lain mampu merapatkan jurang komunikasi dan membuatkan setiap individu berasa lebih diterima.

Chan May Ling, Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran CelcomDigi berkata, “Apa yang menjadikan kisah-kisah ini istimewa bukanlah kerana tindakan luar biasa yang dilakukan oleh individu-individu ini. Sebaliknya, ia adalah tindakan yang lahir daripada keikhlasan dan rasa prihatin terhadap orang lain. Sama ada membantu seseorang kembali berhubung dengan insan tersayang atau mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif, detik-detik seperti inilah yang menunjukkan bahawa bantuan yang kelihatan kecil sebenarnya mampu meninggalkan kesan yang besar kepada seseorang.”

Beliau menambah, “Di CelcomDigi, kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada kehidupan pelanggan dan detik-detik yang penting buat mereka. Kami percaya kepelbagaian yang dimiliki Malaysia merupakan antara kekuatan terbesar negara, manakala hubungan yang bermakna terjalin apabila kita saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Kisah-kisah ini mengingatkan kita bahawa di sebalik teknologi dan rangkaian yang menghubungkan masyarakat, nilai empati dan keprihatinanlah yang membawa impak sebenar kepada komuniti. Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kami berharap ‘Nadi Inspirasi Kami’ dapat menginspirasikan lebih ramai rakyat Malaysia untuk terus membuat kebaikan.”

Tawaran Istimewa Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Diinspirasikan daripada semangat kebersamaan yang dipaparkan dalam filem ini, CelcomDigi turut meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan menawarkan promosi istimewa bagi membantu pelanggan terus berhubung dengan insan yang  penting dalam kehidupan mereka.

Pelanggan boleh menikmati pas Internet Hari Kebangsaan berkelajuan tinggi 1631GB pada harga istimewa RM6.90 sahaja, sah selama tiga hari. Tawaran ini tersedia kepada semua pelanggan prabayar dan pascabayar CelcomDigi di seluruh negara dan boleh dilanggan menerusi aplikasi CelcomDigi.

CelcomDigi mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia.

Untuk menonton video penuh, layari saluran YouTube rasmi CelcomDigi di: Nadi Inspirasi Kami