

KOTA KINABALU, 23 Mac 2026 – CelcomDigi Business mengumumkan kerjasama strategik dengan usahawan Malaysia, Adam Shamil, pengasas Chunk & Dunk, selaras dengan usaha berterusan syarikat dalam menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperkukuh keupayaan digital serta meningkatkan operasi perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang semakin pesat dan saling terhubung.
Syarikat-syarikat PKS merangkumi lebih 97% daripada seluruh perniagaan di Malaysia dan memain peranan penting memacu kemajuan ekonomi negara. Dengan perubahan dalam tingkah laku pengguna dan landskap pasaran yang semakin digital, semakin banyak PKS mengguna pakai teknologi bagi memodenkan operasi serta memperkukuhkan interaksi bersama pelanggan. CelcomDigi Business membolehkan para usahawan mengakses rangkaian penyelesaian kesalinghubungan dan digital yang direka khusus untuk menyokong pertumbuhan serta keperluan di setiap peringkat perjalanan perniagaan mereka.
Melalui inisiatif ini, CelcomDigi Business menyokong Adam Shamil dalam merakam dan menonjolkan perjalanan beliau sebagai usahawan moden Malaysia yang membina jenama berteraskan digital (digital-first). Adam Shamil telah berjaya mengembangkan jenama Chunk & Dunk ke seluruh Malaysia Timur, dan baru-baru ini mengumumkan pembukaan cawangan pertamanya di luar negara, iaitu di Filipina, yang mencerminkan aspirasi serta daya saing usahawan digital tempatan yang semakin berkembang. Dengan berkongsi pengalaman sebenar ini, CelcomDigi Business bertujuan untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan Malaysia agar menceburi peluang baharu dalam mengembangkan perniagaan melangkaui pasaran domestik, seterusnya membina masa hadapan yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi, Ts. Afizulazha Abdullah berkata, “Malaysia kini memasuki fasa baharu yang menyaksikan perniagaan tempatan semakin berkembang dalam membina jenama yang mampu bersaing melangkaui pasaran tradisional mereka. Kita melihat kemunculan generasi usahawan baharu yang berfikiran lebih besar dan bergerak pantas, membina jenama yang tidak lagi terhad oleh sempadan geografi. Peranan kami adalah menyediakan infrastruktur dan penyelesaian digital yang menyokong aspirasi ini, justerumembolehkan perniagaan beroperasi dengan lancar, mencapai pelanggan merentasi sempadan, serta berkembang dengan lebih yakin. Apabila PKS Malaysia berjaya menembusi pasaran antarabangsa, ia secara langsung memperkukuh ekosistem ekonomi digital negara.”
Adam Shamil, Pengasas Chunk & Dunk berkata, “Kolaborasi ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan usahawan bahawa jenama Malaysia mampu mencapai kumpulan sasaran di luar batasan pasaran tempatan. Usahawan hari ini memulakan perniagaan dengan pendekatan baharu. Kita membina komuniti terlebih dahulu, berinteraksi dengan pelanggan secara dalam talian, dan memanfaatkan momentum tersebut untuk mengembangkan jenama. Chunk & Dunk bermula sebagai satu idea kecil, namun aspirasi untuk berkembang sentiasa menjadi pendorong utama. Jika perkongsian perjalanan ini dapat menjadi inspirasi kepada usahawan lain bahawa jenama Malaysia mampu menembusi pasaran baharu di peringkat global, maka ia adalah sesuatu yang amat bermakna untuk dikongsi.”
Sepanjang tahun ini, Adam Shamil akan terlibat dalam beberapa inisiatif terpilih CelcomDigi Business, termasuk program pembangunan PKS, sesi perkongsian ilmu serta kandungan digital yang bertujuan memberikan pandangan praktikal mengenai pembinaan jenama, penglibatan komuniti dan strategi pengembangan perniagaan dalam persekitaran pasaran yang dinamik.
Kerjasama ini diperkenalkan sempena Chunk & Dunk Global Premiere yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, menandakan satu pencapaian penting bagi jenama tersebut dalam memperluas kehadiran ke pasaran antarabangsa.
© Copyright 2026 CelcomDigi Berhad [Registration No. 199701009694 (425190-X)]. All Rights Reserved.