

Bantu perniagaan tempatan menaik taraf, mengembangkan dan menambah baik kemudahan pickleball
PETALING JAYA, 10 April 2026 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”), menerusi platform Arena CelcomDigi, hari ini mengumumkan peruntukan dana sehingga RM1 juta bagi menyokong pembangunan berterusan ekosistem pickleball di Malaysia. Dana Pickleball CelcomDigi akan disalurkan secara berperingkat untuk meningkatkan akses kepada gelanggang pickleball yang berkualiti dan moden di seluruh negara. Usaha ini membolehkan lebih banyak komuniti menikmati sukan pickleball dalam persekitaran permainan yang selamat, lengkap dan kondusif. Ini sejajar dengan misi Arena CelcomDigi untuk menjadikan gaya hidup aktif lebih menyeronokkan dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.
Inisiatif ini menawarkan sokongan pembiayaan berperingkat merangkumi sumbangan tunai dan barangan (in-kind) melalui tiga kategori yang disesuaikan mengikut saiz gelanggang dan keperluan pembangunan: RM5,000 untuk fasiliti dengan tiga gelanggang dan ke bawah, RM10,000 untuk fasiliti dengan empat hingga enam gelanggang, dan RM15,000 untuk fasiliti dengan tujuh gelanggang atau lebih. Dana Pickleball CelcomDigi ini bertujuan membantu perniagaan tempatan dan persatuan penduduk yang mengendalikan gelanggang pickleball menaik taraf dan memperluas kemudahan sedia ada atau menambah baik peralatan dan kemudahan, sekaligus membolehkan mereka terus menyediakan ruang permainan yang moden dan yang diselenggarakan dengan baik untuk pemain beriadah dan berinteraksi. Permohonan kini terbuka kepada semua pengendali gelanggang pickleball yang layak di seluruh Malaysia.
Ketua Jenama dan Perkhidmatan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling berkata pickleball kini menjadi antara sukan gaya hidup aktif yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia, yang menyatukan orang ramai melalui permainan persahabatan dan perkongsian pengalaman.
“Bagi CelcomDigi, kesalinghubungan merupakan satu peluang untuk menyatukan masyarakat secara bermakna melalui sokongan terhadap aktiviti komuniti serta ruang komunal. Oleh itu, tumpuan kami adalah kepada menyokong komuniti pickleball dengan meningkatkan akses kepada gelanggang berkualiti dan persekitaran permainan yang lebik baik. Inisiatif ini bukan hanya tertumpu kepada penambahbaikan fizikal, malah bertujuan menyokong pengendali gelanggang untuk terus menyediakan persekitaran permainan yang lebih baik, di samping menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia kekal aktif, membina kemahiran dan menikmati sukan ini dalam ruang yang mereka selesa untuk kembali. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meningkatkan pengalaman bermain secara keseluruhan serta menyokong pengendali gelanggang dan pemain, sekaligus membentuk pickleball yang lebih kukuh dan inklusif.”
9Pickle Mines, terletak di Mines, merupakan gelanggang pickleball pertama yang menerima peruntukan di bawah inisiatif ini.
Pengendali gelanggang pickleball yang berminat memohon sokongan di bawah Dana Pickleball CelcomDigi boleh mendaftar sekarang menerusi https://arenacelcomdigi.com.my/pickleball-fund/. Maklumat lanjut akan dikongsikan menerusi saluran media sosial rasmi CelcomDigi.
© Copyright 2026 CelcomDigi Berhad [Registration No. 199701009694 (425190-X)]. All Rights Reserved.