Newsroom

CelcomDigi perkenal chatbot bahasa AI, Maya

May 28, 2025

PETALING JAYA, 27 Mei 2025 - Menjelang sambutan meriah Pesta Kaamatan and Hari Gawai, CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) mengajak rakyat Malaysia untuk #Semaikan Jalinan dan kembali berhubung dengan asal usul, warisan budaya dan insan tersayang. Tahun ini, CelcomDigi meraikan perayaan ini melalui satu perjalanan penuh makna demi memelihara identiti berharga Borneo dengan melancarkan Maya, chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk menghidupkan kembali dan mengajar bahasa ibunda Borneo seperti Iban dan Dusun.

Dibangunkan bersama Replyr.ai, Maya direka bentuk sebagai teman digital yang membolehkan pengguna mempelajari dan berinteraksi dengan bahasa nenek moyang mereka melalui pengalaman teknogi yang mudah diakses. Sebagai jenama yang menghubungkan lebih 20 juta rakyat Malaysia, CelcomDigi yakin dengan menggabungkan inovasi dan keterhubungan, CelcomDigi memanfaatkan teknologi untuk memperkukuh hubungan antara insan dan akar budaya mereka, membolehkan komuniti menemui semula, memelihara dan meraikan warisan yang menjadikan mereka unik.

Inisiatif ini diceritakan melalui filem pendek CelcomDigi bertajuk “Maya”, yang mengisahkan perjalanan seorang gadis Iban, menerokai dunia imaginatif Borneo dalam usaha mencari semula mencari dialek ibundanya yang semakin dilupakan. Tergerak oleh pengakuan datuknya bahawa bahasa warisan mereka kian pupus, Maya bertekad memastikan bahasa-bahasa tersebut bukan sekadar didengari, tetapi diwarisi oleh generasi muda sebagai usaha memelihara budaya dan identiti kaumnya untuk generasi masa depan.

Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran CelcomDigi Chan May Ling berkata, “Kami percaya bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk berkomunikasi. Ia adalah teras kepada budaya kita,  membentuk identiti dan menghubungkan kita dengan akar umbi. Menyedari bahawa banyak bahasa ini mungkin akan pupus kerana generasi muda kini lebih cenderung menggunakan dengan bahasa yang lebih lazim digunakan, kami terdorong untuk mencipta Maya. Ia merupakan usaha kami untuk memastikan bahasa-bahasa indah ini terus berkembang, agar dapat dipelajari dan digunakan oleh generasi akan datang."

“Menghidupkan” #Semaikan Jalinan

CelcomDigi juga memperluaskan inisiatif ini melalui Misi Kereta Api, satu kolaborasi bersama Kupi Kupi FM, bagi berinteraksi dengan komuniti tempatan di Sabah dan Sarawak. Sepanjang seminggu, pasukan CelcomDigi dan Kupi Kupi FM menyantuni perantau yang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Pesta Kaamatan and Hari Gawai. Dengan menaiki kereta api dari Kota Kinabalu ke Beaufort di Sabah dan dari Kuching ke Durin sehingga ke rumah panjang tradisional di Sarawak, kedua-dua pasukan ini berinteraksi dengan penduduk tempatan melalui pelbagai permainan dan sesi bercerita - mempelajari budaya dan bahasa ibunda, sambil menghayati makna #Semaikan Jalinan bersama. Usaha ini bertujuan memperkukuh semangat kekitaan, pemeliharaan warisan dan penghargaan terhadap budaya.

Sepanjang tahun lalu, filem pendek perayaan CelcomDigi secara konsisten mengetengahkan kekayaan warisan budaya Sabah dan Sarawak, daripada amalan tradisional hingga bahasa ibunda. Ia turut memaparkan bagaimana teknologi dan inovasi membantu merapatkan jurang masa silam dan masa depan. Inisiatif ini mencerminkan usaha CelcomDigi untuk menghubungkan rakyat Malaysia bukan sekadar melalui rangkaian komunikasi tetapi juga menerusi jalinan identiti dan kesinambungan budaya.

Mari raikan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dengan tawaran eksklusif

Sempena sambutan perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, semua pelanggan CelcomDigi boleh menikmati pelbagai tawaran menarik:

  • Pelanggan boleh menikmati akses percuma 1 bulan Via Premium dengan StreamMORE Add-Ons yang turut menawarkan 5GB data Internet tambahan - tawaran eksklusif untuk mereka yang melanggan StreamMORE Viu untuk pertama kali.
  • Hanya dengan RM8, pelanggan boleh menikmati kelajuan Internet pantas dengan Pas Internet 2999GB, sesuai untuk penstriman tanpa gangguan dan permainan atas talian yang lancar. Pas ini sah selama 4 hari dan boleh didapati melalui aplikasi Celcom Life atau MyDigi.   
  • Dengan Pakej MegaJimat, pelanggan boleh mendapatkan telefon 5G percuma apabila mendaftar untuk Pelan Pascabayar 80 CelcomDigi. Selain itu, pelanggan di Sabah, Sarawak dan Labuan boleh menikmati rebat tambahan RM10 bulanan sehingga 24 bulan.  

CelcomDigi mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada semua rakyat Malaysia dengan ucapan “Kotobian Tadau Tagazo Kaamatan” dan “Gayu Guru Gerai Nyamai”.

Untuk menonton video penuh dan mencuba teman chatbot Maya, layari laman YouTube rasmi CelcomDigi: https://youtu.be/zP-xzDXiaC4?feature=shared

Untuk maklumat  mengenai CelcomDigi, layari www.celcomdigi.com