

PETALING JAYA, 15 Januari 2026 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) hari ini mengumumkan kejayaan menyiapkan pelaksanaan keterhubungan berskala besar serta infrastruktur menara merentasi ladang-ladang Kumpulan IOI di Sabah dan Semenanjung Malaysia. Inisiatif ini menyokong perjalanan transformasi digital dan pertumbuhan Kumpulan IOI merentasi operasi perladangannya, di samping meluaskan liputan yang boleh dipercayai kepada komuniti luar bandar di kawasan sekitarnya.
Menyebar keterhubungan bagi memacu automasi meliputi operasi perladangan
CelcomDigi telah melaksanakan lebih 100 tapak rangkaian 4G dan 4G LTE merentasi lebih 100 ladang Kumpulan IOI di seluruh negara, menyediakan keterhubungan berkelajuan tinggi, serta memasang Akses Internet Langsung (Direct Internet Access, DIA) khusus untuk pejabat ladang di kawasan berhampiran. Penyelesaian menyeluruh ini mempercepatkan pendigitalan aktiviti teras Kumpulan IOI, termasuk automasi bagi memperkemas operasi kilang, aplikasi tenaga kerja mudah alih, pengurusan aset dan armada berasaskan IoT, serta kes penggunaan berteras data pada masa hadapan yang penting untuk pengurusan perladangan moden.
Dengan keterhubungan generasi baharu berkelajuan tinggi di seluruh ladang, Kumpulan IOI kini dapat menyepadukan sistem pintar secara berperingkat serta mengautomasikan proses bagi meningkatkan produktiviti, keterlihatan operasi dan tahap keselamatan.
Menyampai Keterhubungan kepada Komuniti Pedalaman
Selain menyokong transformasi digital Kumpulan IOI, peluasan keterhubungan ini turut memberi manfaat kepada komuniti luar bandar di kawasan sekitar dengan menambah baik akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan digital penting. Dengan memperkukuh keterangkuman digital, keterhubungan yang boleh dipercayai ini mewujudkan laluan kepada pertumbuhan inklusif dan menyokong kemajuan sosioekonomi yang lebih meluas, sekali gus memastikan lebih banyak komuniti dapat menyertai ekonomi digital Malaysia.
Dalam sektor pertanian, keterhubungan menyeluruh di peringkat ladang merupakan langkah asas yang kritikal untuk memodenkan operasi, membolehkan organisasi menyepadukan sistem dan data bagi membentuk aliran kerja berteras data yang mampu berkembang secara cekap, produktif dan mampan.
Ts. Afizulazha Abdullah, Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi berkata, “Bagi sektor perladangan, kami melihat bahawa perniagaan yang mempunyai keterhubungan menyeluruh dan konsisten di seluruh ladang mencapai penambahbaikan yang boleh diukur dari segi kecekapan operasi dan tahap penerimaan digital. Pengguna awal melaporkan produktiviti yang lebih tinggi serta kemajuan yang lebih pantas ke arah sasaran hasil, khususnya melalui operasi yang saling terhubung. Kumpulan IOI kini memiliki asas digital yang kukuh untuk mengembangkan automasi dan sistem pintar merentasi ladang dan kilangnya. Inilah cara kami memperkasa fasa pertumbuhan seterusnya — membina rangkaian yang memberikan peningkatan operasi, menyokong amalan mampan dan mengukuhkan komuniti di sekitarnya.”
Mengulas mengenai kerjasama ini, Pengarah Perladangan Kumpulan IOI, Encik NB Sudhakaran berkata, “Hasrat Kumpulan IOI adalah untuk mentransformasikan ladang kami menjadi operasi bersepadu dan saling terhubung yang mampu bersaing dari segi produktiviti dan kemampanan dalam jangka panjang. Kerjasama dengan CelcomDigi sejajar dengan hasrat ini kerana mereka membawa keupayaan rangkaian serta komitmen bersama untuk menangani cabaran praktikal di lapangan. Dengan memanfaatkan keterhubungan meluas ini sebagai asas kepada operasi digital bersepadu, kami berhasrat untuk memperluaskan automasi, melaksanakan pengurusan armada dan aset pintar, serta memperkukuh pembuatan keputusan berteras data.”
Kerjasama dengan Kumpulan IOI ini mencerminkan komitmen CelcomDigi untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah masyarakat digital 5G dengan menyediakan perusahaan tempatan asas digital yang diperlukan untuk pertumbuhan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada aspirasi Perniagaan CelcomDigi untuk mendigitalisasikan perniagaan dan industri melalui keterhubungan serta penyelesaian digital generasi baharu, bagi membolehkan mereka bersaing dan berkembang maju dalam ekonomi digital Malaysia.
© Copyright 2026 CelcomDigi Berhad [Registration No. 199701009694 (425190-X)]. All Rights Reserved.