PETALING JAYA, 22 Mac 2024 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) melalui Pusat Inovasinya melancarkan suasana pembelajaran berasaskan pengalaman dan mengasyikkan pertama di Malaysia - CelcomDigi Metaversity™. Memanfaatkan penyelesaian metaverse, realiti lanjutan (XR), dan kecerdasan buatan (AI), serta disokong oleh sambungan 5G dan fiber CelcomDigi untuk pengalaman digital yang optimum, inisiatif ini bakal melonjakkan pembangunan bakat masa hadapan Malaysia yang pakar dalam teknologi baharu berasaskan AI, dan memacu inovasi penyelesaian digital dalam landskap akademik serta perusahaan.
CelcomDigi Metaversity™ memberi nafas baharu dalam pendidikan tinggi menerusi aplikasi teknologi canggih, seperti metaverse, XR, AI, robotik, dan 5G dalam modul pembelajaran mayanya, untuk membolehkan pelajar mengalami sendiri pengalaman pembelajaran digital secara maya, dan memperkukuhkan kepakaran teknikal mereka terhadap kemahiran yang tinggi permintaannya ini.
Modul pembelajaran maya ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran mereka dan mencipta peluang inovasi meliputi pelbagai sektor industri, seperti penjagaan kesihatan, kejuruteraan, robotik, keselamatan siber dan banyak lagi. Pelajar yang mendaftar dalam kursus pembelajaran maya Metaversity™ CelcomDigi akan menerima pensijilan metaverse oleh VIRNECT dan XRA setelah selesai menjalani kursus tersebut. Metaversity™ CelcomDigi teelah melaksanakan 6 kes pengguna dengan universiti tempatan seperti Muzium Maya, Hospital Pengajaran Perubatan, Pembuatan Kereta, Robotik, Keselamatan Siber dan Kejuruteraan O&G.
CelcomDigi Metaversity™ adalah jalinan kolaborasi bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan telah dilancarkan oleh YB Datuk TS. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. CelcomDigi dan Kementerian Pengajian Tinggi turut menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk memacu penggunaan serta pelaksanaan penyelesaian pembelajaran dan pendidikan metaverse, XR, dan AI yang inovatif di 21 universiti seluruh negara.
Sebanyak 10 universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), MAHSA University, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka ( UTeM), juga telah mengikrarkan komitmen mereka untuk menerima pakai modul pembelajaran mengasyikkan CelcomDigi Metaversity™. Sebagai penyedia sambungan pilihan untuk universiti-universiti tersebut, CelcomDigi akan memberikan sokongan melalui sambungan fiber dan seleksi penyelesaian Internet Kebendaan (IoT) digital untuk membantu dalam perjalanan transformasi institusi pengajian tinggi berkenaan.
“Pembelajaran dan pendidikan Metaverse adalah kaedah inovatif yang membuka banyak kemungkinan untuk direbut dan dialami oleh bakat masa hadapan kita. Usaha ini juga merupakan satu kejayaan mengagumkan buat CelcomDigi dalam menerajui inisiatif ini ke arah menginovasikan penyelesaian yang ke hadapan yang memberi inspirasi kepada pelajar Malaysia. Kami menyeru lebih banyak institusi pendidikan, serta pemain teknologi dan industri, untuk bersama-sama menyuntik nafas baharu dan merevolusikan sistem pendidikan negara seterusnya mengangkat bakat negara ke tahap yang lebih tinggi,” ujar YB Datuk TS. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
Datuk Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi berkata “AI sedang mengubahkan dunia dan Malaysia perlu bersedia. Matlamat kami di sini amat jelas iaitu membantu mempercepatkan kesediaan bakat masa depan, di samping meletakkan universiti tempatan sebagai antara institusi pembelajaran tercanggih di rantau ini. Dengan memanfaatkan kuasa teknologi 5G, AI, metaverse dan Internet Kebendaan, kami boleh meningkatkan cara kami mendidik dan melatih doktor, jurutera, saintis dan juruteknik masa depan kami.”
Inisiatif Metaversity™ CelcomDigi bermula pada September 2023 melalui kerjasama dengan VIRNECT dan XRA untuk membangunkan pembelajaran dan pendidikan berasakan pengalaman menggunakan Metaverse, buat universiti di Malaysia. Kerjasama dengan universiti tempatan bertujuan melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri dan berkemahiran dalam aplikasi metaverse, melakukan transformasi melangkaui pengetahuan dan program pembelajaran tradisional serta mempercepatkan pembangunan bakat masa hadapan Malaysia dengan memanfaatkan pertumbuhan digital berasaskan AI.
© Copyright 2024 CelcomDigi Berhad (Formerly known as Digi.Com Berhad) [Registration No. 199701009694 (425190-X)]. All Rights Reserved.