Newsroom

CelcomDigi Mencari Warga Muda Malaysia Berkaliber Tinggi Sertai Young Talent Programme (YTP)

May 13, 2026

PETALING JAYA, 13 MEI 2026 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) kini membuka permohonan bagi pengambilan kedua Young Talent Programme (YTP), sebuah program pecutan kerjaya berstruktur selama dua tahun yang direka untuk membangunkan bakat muda Malaysia berpotensi tinggi menjadi pemimpin digital generasi akan datang.

Sebagai sebahagian daripada komitmen CelcomDigi dalam memperkasa aspirasi digital negara, program ini memberi penekanan kepada pembangunan bakat yang memiliki kemahiran teknikal yang kukuh, pemahaman perniagaan yang mendalam serta keupayaan kepimpinan yang tinggi. YTP disasarkan kepada individu yang bersedia untuk berkembang dalam persekitaran yang dinamik, dipacu data dan berteraskan pelanggan, sambil menyumbang kepada pembangunan penyelesaian dan hasil perniagaan yang memberi impak bermakna.

Ketua Pegawai Sumber Manusia CelcomDigi, Azmi Ujang berkata, “Kepesatan transformasi digital kini memerlukan generasi bakat yang berbeza – individu yang mempunyai asas teknikal yang kukuh, memahami keperluan perniagaan, mampu menyesuaikan diri serta sentiasa bersedia untuk belajar dan berkembang dalam persekitaran yang dinamik. Menerusi CelcomDigi YTP, kami membina barisan bakat digital yang mampu membantu membentuk bagaimana teknologi dapat memberi impak bermakna kepada pelanggan, perniagaan dan negara. Berbeza daripada program graduan konvensional, YTP direka sebagai platform pecutan pembangunan kerjaya untuk bakat muda membina kepakaran mendalam, memperoleh pendedahan kepada cabaran sebenar perniagaan serta berkembang bersama pasukan yang menerajui agenda transformasi utama CelcomDigi.”

Permohonan Dibuka untuk Pengambilan Kedua YTP

Susulan sambutan menggalakkan bagi pengambilan sulung yang menarik hampir 3,600 permohonan untuk mengisi 20 tempat, CelcomDigi sekali lagi mencari bakat muda Malaysia yang cemerlang dan bersedia untuk berkembang dalam persekitaran pantas serta menyumbang kepada impak sebenar perniagaan. Permohonan dibuka dari 13 Mei hingga 3 Julai 2026 kepada graduan Malaysia dan ahli profesional muda yang mempunyai pengalaman kerja kurang daripada dua tahun.

Calon yang berjaya akan menjalani penempatan berstruktur dalam salah satu daripada lima bidang kepakaran khusus iaitu Cloud Engineering, Cybersecurity, Data & Business Analytics, Digital Product Development serta AI & Automation. Sepanjang tempoh dua tahun program ini, peserta akan bekerjasama dengan pasukan dan pemimpin berpengalaman dalam menangani cabaran sebenar perniagaan serta membangunkan penyelesaian teknologi yang menyokong transformasi berterusan CelcomDigi sebagai syarikat yang dipacu 5G dan AI.

CelcomDigi YTP adalah sebahagian daripada usaha pembangunan bakat CelcomDigi di bawah CD:NXT, inisiatif strategik jangka panjang syarikat untuk membangunkan tenaga kerja digital masa hadapan Malaysia. Melalui pelaburan berterusan dalam memperkasa bakat muda berpotensi tinggi, CelcomDigi komited untuk memperkukuh keupayaan negara dalam bidang utama seperti AI, teknologi, data dan analitik, di samping menyokong pertumbuhan digital serta daya saing negara untuk jangka panjang.

Calon berminat boleh mohon dan mengetahui lebih lanjut di https://cdlink.net/YTP