

PETALING JAYA, 24 Ogos 2026 – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) memperkukuh perlindungan rangkaiannya terhadap panggilan ‘scam’ menerusi satu lagi firewall suara yang mengesan and menandakan panggilan mencurigakan pada masa nyata sebelum pelanggan menjawab panggilan tersebut. Inisiatif ini menambah satu lagi lapisan perlindungan kepada lebih 20 juta pelanggan di seluruh negara.
Keupayaan canggih teknologi ini disepadukan sepenuhnya ke dalam rangkaian teras CelcomDigi, membolehkan aktiviti panggilan dipantau dengan lebih menyeluruh. Teknologi ini boleh menganalisa corak trafik dan petunjuk risiko dengan tepat bagi mengenal pasti aktiviti palsu dan mencurigakan sebelum ia sampai kepada pelanggan. Keupayaan teknologi ini berfungsi seiring dengan teknologi firewall SMS syarikat, yang terus mengesan dan menapis mesej terlarang serta palsu di tahap rangkaian.
Ketika tempoh percubaanbaru-baru ini, teknologi ini telah mengesan 355 juta panggilan palsu dan yang mencurigakan, termasuk 217 juta panggilan telefon automatik atau robocall. Berikutan pelaksanaan di seluruh negara Julai lalu, panggilan masuk yang mencurigakan akan ditanda dengan amaran “Suspected Scam” pada telefon pelanggan, sekaligus membantu mereka membuat keputusan bijak untuk mencegah sebarang panggilan penipuan.
"Kebanyakan aktiviti harian kita beralih ke platform digital, maka rangkaian yang pintar dan selamat perlu terus dipertingkatkan lagi supaya rangkaian kita mampu mengenal pasti ancaman baharu dan bertindak dengan segera. Usaha ini dijalankan secara berterusan demi meningkatkan lagi kepintaran rangkaian kami supaya pelanggan boleh buat keputusan yang selamat. Dengan keupayaan mengesan aktiviti mencurigakan dalam rangkaian dan memberi amaran sebelum pelanggan respon, kami menyediakan satu lagi lapisan perlindungan ketika ia paling diperlukan. Kami akan terus membuat pelaburan dalam teknologi yang memantapkan lagi keselamatan rangkaian serta meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan digital kami," jelas Ketua Pegawai Teknologi CelcomDigi Kesavan Sivabalan.
Perlindungan rangkaian yang dipertingkatkan ini merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh CelcomDigi dalam memerangi scam, berpandukan prinsip A.C.T. (Awareness, Compliance, Technology) iaitu BERTINDAK – memupuk Kesedaran, meningkatkan tahap Pematuhan dalam organisasi serta menyokong usaha agensi penguatkuasaan, dan memanfaatkan Teknologi untuk memerangi jenayahsiber. Komitmen CelcomDigi terhadap keselamatan digital telah lama diterjemahkan melalui pelbagai usaha mampan untuk membina masyarakat digital yang dipercayai. Menerusi program utama S.A.F.E. Internet dan inisiatif kesedaran scam di seluruh negara, syarikat akan meneruskan usaha memperkasa dan membekalkan pengetahuan, sokongan serta perlindungan yang diperlukan rakyat Malaysia untuk melayari dunia digital dengan selamatnya.
© Copyright 2026 CelcomDigi Berhad [Registration No. 199701009694 (425190-X)]. All Rights Reserved.