Newsroom

CelcomDigi memperkasa rakan PKS tingkat kemampuan dan patuh ESG

July 29, 2025

PETALING JAYA, 28 Julai 2025 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) telah mengadakan Program Pemerkasaan dan Kecemerlangan Vendor CelcomDigi (CelcomDigi Vendor Empowerment and Excellence Programme atau VEEP) yang berjaya menarik penyertaan hampir 100 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia serta rakan jualan eksklusif daripada lebih 60 syarikat. VEEP merupakan  satu inisiatif strategik yang direka untuk meningkatkan kemampuan PKS dalam rantaian pembekal melalui pengetahuan praktikal, peralatan sokongan dan akses  kepada peluang yang dapat menambah baik standard dan kredibiliti perniagaan mereka.

Fasa pertama VEEP dimulakan dengan fokus membina asas ESG bagi keseluruhan rantaian pembekal dengan menggunakan Panduan Penzahiran ESG Ringkas (SEDG) untuk PKS dalam Rantaian Bekalan (Simplified ESG Disclosure Guide  (SEDG) for SMEs in Supply Chain) dengan kerjasama Capital Markets Malaysia. Modul latihan ini bertujuan membantu PKS mengintegrasi amalan bertanggungjawab serta mengukur dan mendedahkan impak ESG dalam perniagaan mereka. Inisiatif ini juga sejajar dengan jangkaan Bursa Malaysia bagi syarikat korporat membina rantaian pembekal tersedia ESG, penting untuk meningkatkan kredibiliti, membuka peluang pertumbuhan dan memenuhi permintaan untuk rakan niaga yang mempunyai prinsip ESG yang sama yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi, Joachim Rajaram berkata, “PKS membentuk lebih 97% daripada lanskap perniagaan Malaysia dan dijangka menyumbang 45% kepada KDNK negara tahun ini, menjadikan mereka pemacu utama ekonomi kita. Menyokong pertumbuhan mereka adalah keutamaan strategik dan merupakan komitmen ESG kami untuk menyediakan rantaian pembekal yang mampan. Dengan syarikat Malaysia membentuk lebih 72% daripada rantaian pembekal CelcomDigi, kami melihat peluang jelas untuk memperkasakan lanskap perniagaan bermula dari ekosistem kami sendiri.

“VEEP adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mempertingkatkan kemampuan PKS tempatan menerusi sokongan bersasar. Kerjasama dengan CMM hari ni, merupakan langkah asas ke arah amalan perniagaan bertanggungjawab. Kami juga berhasrat untuk membina sebuah program yang komprehensif bagi menyokong pertumbuhan dan kelestarian PKS dalam rantaian nilai kami merangkumi usaha memacu usaha pendigitalan mereka, menjalin kerjasama antara sektor untuk memperluas akses kepada lebih banyak peluang perniagaan, serta saluran pembiayaan dan pengkomersialan.”

VEEP merupakan komitmen jangka panjang CelcomDigi untuk memperkasa PKS Malaysia menerusi sokongan berstruktur dan kerjasama strategik yang merangkumi pembangunan kapasiti dan pensijilan, amalan perolehan inklusif, serta akses kepada peluang perniagaan dan pembiayaan.

Untuk maklumat lanjut tentang CelcomDigi VEEP, layari laman rasmi VEEP.