PETALING JAYA, 18 MEI 2025 – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) hari ini mengumumkan satu kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Terengganu bertujuan memacu usaha pendigitalan dan penambahbaikan infrastruktur digital negeri serta memperkasa kegiatan sukan, khususnya acara kuda lasak dan ekuestrian melalui platform Arena CelcomDigi.
Platform ini akan menyokong pasukan kuda lasak dan ekuestrian dan pembangunan aktiviti sukan secara menyeluruh di samping menaik taraf Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (Terengganu International Endurance Park - TIEP). Inisiatif ini akan digerakkan seiring dengan langkah-langkah pendigitalan negeri Terengganu.
Kerjasama strategik ini diumumkan di Majlis Perasmian TIEP dan Clubhouse TIEP bersama-sama Menteri Besar Terengganu Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi dan disaksikan oleh KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, serta barisan kepimpinan negeri. Kerjasama yang bernilai RM3 juta untuk tempoh lima tahun ini merangkumi pengukuhan infrastruktur di TIEP serta penajaan sukan dan pasukan kuda lasak dan ekuestrian negeri.
Sejajar dengan aspirasi digital kerajaan negeri, CelcomDigi juga akan meneruskan daya usaha pengukuhan rangkaian telekomunikasi dan digital negeri. Sejak penggabungan syarikat tiga tahun lalu, CelcomDigi telah melabur melebihi RM300 juta dalam pelbagai inisiatif di Terengganu termasuk membina dan menaik taraf infrastruktur digital, memperluaskan akses kesalinghubungan digital masyarakat dan pendigitalan perniagaan tempatan.
Dengan kehadiran fizikal yang luas melalui 400 cawangan runcit serta bilangan pengguna yang melebihi dua pertiga penduduk tempatan, kerjasama strategik ini membuka peluang kepada CelcomDigi untuk menyumbang ke arah pemerkasaan masyarakat Terengganu secara mampan dan mengukuhkan ekonomi tempatan.
Idham berkata, “Kami amat komited dalam usaha pembangunan dan pendigitalan negeri selaras dengan peranan kami sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Terengganu. Melalui kerjasama ini, kami turut menyokong pembangunan sukan kuda lasak dan ekuestrian yang berpotensi menjadi pemangkin kepada pelancongan dan ekonomi negeri. Kami amat berbangga dengan pasukan tempatan bertaraf dunia yang bertanding di pentas antarabangsa. Kami yakin pelaburan dan usaha berterusan ini akan membawa impak positif kepada pembangunan negeri secara menyeluruh terutamanya dalam menambah baik sosioekonomi masyarakat serta merancakkan lagi ekonomi pelancongan negeri.”
CelcomDigi berazam memartabatkan sukan kuda lasak dan ekuestrian ini melalui platform Arena CelcomDigi. Arena CelcomDigi merupakan satu inisiatif yang menyokong perkembangan pelbagai jenis sukan di Malaysia. Platform ini boleh mempertingkatkan kesedaran terhadap sukan kuda lasak dan ekuestrian, serta menggalakkan penyertaan orang ramai terutamanya anak-anak muda.
Photo credit: Terengganu State Government
© Copyright 2025 CelcomDigi Berhad [Registration No. 199701009694 (425190-X)]. All Rights Reserved.