Newsroom

CelcomDigi lancar Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih

February 28, 2023

PETALING JAYA, 28 Februari 2023 – CelcomDigi Berhad hari ini mengumumkan tawaran Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih (Pakej Perpaduan) sebagai pilihan alternatif buat komuniti sasaran agar dapat sentiasa berhubung dengan perkhidmatan komunikasi yang penting.

Pakej Perpaduan untuk tempoh terhad ini boleh didapati mulai 28 Februari hingga 31 Disember 2023. Dengan hanya RM30, Pakej Perpaduan dilengkapi kuota Internet 30GB untuk semua penggunaan dengan kelajuan hingga 3Mbps dan tempoh sah 180 hari. Pakej ini boleh dinikmati oleh golongan belia (12 hingga 30 tahun), komuniti B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran badan beruniform Malaysia.

Sekiranya pelanggan memerlukan lebih banyak data pada bila-bila masa dalam tempoh enam bulan tersebut, mereka boleh memilih untuk melanggan mana-mana pas Internet aktif Celcom atau Digi dari serendah RM3. Mempunyai akses mudah terhadap sambungan Internet merupakan satu keperluan untuk memastikan komuniti ini dapat sentiasa berhubung dengan pelbagai perkara penting.

Sebagai antara penyedia perkhidmatan yang mengambil bahagian, CelcomDigi menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan keterangkuman digital negara dan menawarkan akses mudah kepada lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya komuniti yang kurang diberi perhatian.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pakej Perpaduan, pelanggan Celcom boleh melayari https://www.celcom.com.my/personal/prepaid/pakej-perpaduan dan pelanggan Digi boleh melayari https://www.digi.com.my/prepaid/pakej-perpaduan.