Newsroom

CelcomDigi lancar Experience Centre AI yang canggih

July 9, 2024
  • Memanfaatkan teknologi baharu seperti AI, XR dan Metaverse untuk memacu pembangunan penyelesaian yang canggih
  • Dikuasakan oleh ekosistem ekstensif yang terdiri daripada 40 rakan teknologi global dan ekosistem tempatan
  • Memaparkan pameran merentasi lapan sektor industri, 13 daripada 45 penyelesaian sedang diuji dengan perusahaan Malaysia

PETALING JAYA, 9 JULAI 2024 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) hari ini melancarkan CelcomDigi AI Experience Centre (AiX) yang canggih, iaitu sebuah hab inovasi dan kolaborasi sehenti yang imersif untuk meneraju, menginspirasi dan memacu penciptaan penyelesaian digital bertaraf dunia meliputi pelbagai sektor. Disokong oleh ekosistem yang luas terdiri daripada pemain teknologi global terkemuka dan rakan niaga tempatan, AiX berperanan sebagai titik tumpuan untuk kerjasama merentas industri yang memanfaatkan teknologi baharu seperti 5G, Kecerdasan Buatan (AI), Realiti Lanjutan, Robotik, Analitik dan Metaverse. Pusat kolaboratif ini dibangunkan untuk memacu kemajuan teknologi yang pesat dan pertumbuhan syarikat pemulaan digital baharu, perusahaan dan kemahiran masa hadapan untuk membina ekosistem inovasi yang berdaya saing bagi menggalakkan transformasi digital Malaysia.

Dilancarkan oleh Menteri Komukinasi YB Fahmi Fadzil, AiX membawakan pengalaman imersif yang menggabungkan penglihatan, bunyi dan sentuhan, serta menampilkan penyelesaian dunia sebenar yang bersedia untuk penggunaan segera. Dibina berdasarkan model evolusi dan perkongsian yang berterusan, teknologi serta pameran ini akan diperbaharui secara berkala untuk membawakan pengalaman baharu kepada pengunjung dan akan dijadikan pusat utama untuk penciptaan bersama bagi membolehkan eksperimen serta pembangunan penyelesaian teknologi baharu untuk pasaran dengan pantas.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata, “Teknologi baharu seperti AI sedang merevolusikan dunia, dan Malaysia harus seiring dengan kemajuan ini dalam usaha membina sebuah negara digital yang berdaya saing. Lebih 1.5 tahun yang lalu, kami membuat komitmen yang teguh untuk memainkan peranan penting bagi merealisasikan aspirasi ini, dengan memanfaatkan gabungan keupayaan kami sebagai syarikat gabungan untuk melabur dan mendorong digitalisasi, inovasi serta pertumbuhan yang mampan untuk negara. AI Experience Centre merupakan hasil nyata manfaat nasional daripada penggabungan ini, yang mana skala dan keupayaan CelcomDigi mampu menarik serta bekerjasama dengan gergasi teknologi digital global dan serantau untuk mempercepatkan pembangunan penyelesaian digital yang canggih, sekaligus menjadikan kami sekutu yang kuat kepada aspirasi digital negara.”

“AiX menekankan kepentingan ekosistem inovasi yang berkembang maju dalam membangunkan masyarakat digital yang teguh. Dalam era serba digital dan pantas ini, kelajuan dan intensiti inovasi adalah penting. Oleh itu, kami telah membangunkan AiX berdasarkan model perkongsian yang kukuh dan evolusi yang berterusan, membolehkan kami mencipta bersama kes penggunaan yang berpotensi besar dengan segera untuk Malaysia. Dengan kerjasama beberapa pemain teknologi global dan ekosistem tempatan yang terkemuka, kami telah melabur RM55 juta untuk menyokong aspirasi ini. Kami akan terus melabur dalam infrastruktur, perkongsian dan kompetensi yang diperlukan untuk menyokong Malaysia melalui perubahan teknologi yang pesat di sekeliling kita. Kami juga bertekad untuk merangsang transformasi digital merentasi industri dan memastikan manfaat 5G, AI, serta teknologi baharu dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia."

Simulasi interaktif penyelesaian masyarakat digital

Terletak di CelcomDigi Hub di Hi-Tech Park Subang Jaya, AiX menempatkan dua ruang inspirasi utama yang dinamakan The Infinity dan The Gallery. The Infinity adalah ruang yang direka untuk memberikan pengalaman yang imersif dan interaktif melalui simulasi masyarakat digital menggunakan teknologi audio-visual yang canggih kepada pengunjung. The Gallery pula adalah ruang yang mempamerkan rangkaian fizikal kes penggunaan industri dunia sebenar untuk memaparkan potensi transformasi teknologi baharu dalam pertumbuhan perusahaan. Setiap simulasi ini memaparkan rangkaian teknologi dan robotik dikuasakan 5G dan AI meliputi lapan sektor iaitu pembuatan, logistik, tenaga, pengangkutan, pelabuhan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan teknologi pertanian. Daripada 45 penyelesaian yang dipaparkan dalam lapan sektor, 13 daripadanya adalah kes penggunaan langsung yang sedang diuji dengan perusahaan di Malaysia.

AiX turut menempatkan AI-RA, manusia digital AI pertama merangkap hos bersama tetap yang mengendalikan lawatan imersif di pusat tersebut. Dalam pada AI-RA berinteraksi dengan pengunjung dan menerangkan pelbagai kes penggunaan yang dipamerkan, beliau ditemani oleh barisan robot autonomi yang melaksanakan pelbagai tugasan termasuk pengawasan perimeter, penghantaran barangan, hiburan atau bantuan peribadi, memperlihatkan kuasa gabungan teknologi AI dengan robotik dalam meningkatkan kemudahan kerja, kehidupan dan aktiviti hiburan.

AiX juga mempunyai ruang kolaboratif yang berfungsi sebagai persekitaran makmal langsung yang canggih untuk pihak yang berminat, daripada syarikat permulaan hingga perusahaan besar, dan daripada akademia hingga kerajaan - untuk mencipta bersama, menguji dan mengesahkan penyelesaian baharu yang menggandingkan 5G dengan teknologi baharu yang lain dalam masa nyata.

Dibina berdasarkan model perkongsian, AiX dikuasakan oleh ekosistem yang kukuh, ekstensif dan berkembang, yang terdiri daripada 40 peneraju teknologi global, rakan niaga tempatan dan penyedia penyelesaian, daripada rakan kerjasama utama Huawei dan ZTE, kepada rakan kerjasama lain seperti AWS, Digital Nasional Berhad, Ericsson, Microsoft, SK Telecom, Softbank, Sumitomo dan Yinson, serta banyak lagi.

AiX akan dibuka untuk pengunjung secara berjadual. Rakan teknologi dan perniagaan, akademia, agensi kerajaan serta organisasi korporat dijemput untuk melawat AiX bagi mendapatkan gambaran mengenai masyarakat digital di masa hadapan melalui pengalaman yang imersif dan interaktif. Kes penggunaan di AiX akan diperbaharui secara berkala untuk memastikan pengunjung mendapat pengalaman teknologi terkini dan pencipta bersama juga dapat menguji teknologi terkini selaras dengan kedinamikan industri teknologi. Jadualkan lawatan untuk mengetahui bagaimana CelcomDigi AI Experience Centre dapat menginspirasi dan memajukan transformasi digital Malaysia di innovation@celcomdigi.com.