Newsroom

CelcomDigi lancar ‘agentic AI’ untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

August 20, 2026

Sophia AI bantu perusahaan dan PKS Malaysia gunakelebihan ‘agentic AI’ untuk meningkatkan kecekapan.

PETALING JAYA, 20 Ogos 2026 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) membawa Kecerdasan Buatan Berteraskan Ejen (agentic AI) kepada perniagaan Malaysia menerusi pengkomersialan Sophia AI. Tenaga kerja digital berkuasakan AI ini direka untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan AI dengan lebih meluas sebagai pembantu dan penggerak ke arah penyelesaian ‘agentic AI’ yang boleh melaksanakan tugasan, menghubungkan sistem, dan menyelaraskan proses perniagaan.

Pengkomersialan Sophia AI menyokong usaha Malaysia untuk memperluas akses kepada AI dan membina ekonomi yang lebih bersedia memanfaatkan teknologi ini. AI berteraskan ejen (agentic AI) merupakan antara keupayaan yang dikenal pasti untuk dibangunkan di bawah agenda AI negara. Namun, Tinjauan Prospek Ekonomi 2026 oleh Kementerian Kewangan Malaysia  menunjukkan bahawa penggunaan AI dalam kalangan PKS masih tidak sekata, dengan ketidakpastian terhadap pulangan pelaburan dan akses terhad kepada platform AI yang sesuai menjadi antara cabaran utama.

CelcomDigi, menerusi Sophia AI, membawa inovasi terkini kepada PKS, membolehkan mereka memacu transformasi digital tanpa perlu membina pasukan teknologi yang besar atau mengubah keseluruhan operasi mereka.

“Kita sendiri menyaksikan bagaimana ‘agentic AI’ menyelaraskan proses dan mencipta nilai perniagaan sebenar. Sebagai usaha awal untuk membuktikan nilai Sophia AI, kami melaksanakan lebih 400 automasi merentas operasi kami bagi menjana penjimatan kos dan meningkatkan pengalaman pelanggan. Usaha strategik ini menunjukkan bahawa Sophia AI mampu menghasilkan impak perniagaan yang positif,” jelas T. Kugan, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi.

Beliau menambah, “Fokus kami kini adalah untuk membantu organisasi lain, khususnya PKS mencapai manfaat yang sama. Menerusi penyelesaian ‘agentic AI’, kami dapat menghapuskan tugasan pentadbiran yang berulang dan memperkasa pekerja untuk meluangkan lebih banyak masa kepada kerja bernilai tinggi di mana keputusan insani, kreativiti, penyelesaian masalah, dan interaksi yang lebih bermakna dengan pelanggan menjadi faktor pembeza utama.”

Transformasi industri dengan ‘agentic AI’

Dalam sektor peruncitan dan pengedaran, Sophia AI mempunyai kupayaan untuk menguruskan proses daripada invois hingga kepada pembayaran - awal hingga akhir. Sophia AI boleh membaca dan mengesahkan invois, mengenal pasti pengecualian, menyalurkan isu kepada pihak yang bertanggungjawab, mencetuskan proses kelulusan serta mengemas kini sistem secara automatik, sekaligus menjimatkan masa dan tenaga. Keupayaan ini amat sesuai untuk perniagaan yang menguruskan jumlah pembekal, stor dan transaksi yang besar, sekali gus mengurangkan kesilapan dan memberikan pandangan yang lebih menyeluruh merentasi rantaian operasi kewangan dan bekalan. Pendekatan yang sama boleh diterapkan merentasi pelbagai industri, seperti:
- Pembuatan: Mengotomasi aliran kerja merangkumi perolehan, pengeluaran, gudang dan kewangan, daripada pengurusan dokumen pembekal dan permintaan penyelenggaraan hingga kepada inventori dan rekod penghantaran.
- Kesihatan: Menyelaras temujanji, tuntutan, rujukan, perolehan dan bil.
- Sektor awam: Memudahkan permohonan, pemeriksaan dokumen, pengurusan kes, pertanyaan berkaitan kewarganegaraan dan penyediaan laporan.

Membantu perniagaan untuk bermula dan berkembang

Satu kelebihan utama Sophia AI ialah keupayaannya untuk disesuaikan mengikut keperluan perniagaan. Ini bermakna seni bina kecerdasan boleh disesuaikan dengan keperluan, saiz dan tahap kerumitan sesebuah perniagaan, sekaligus membolehkan PKS bermula dengan proses kerja yang paling penting, pada skala yang bersesuaian dengan operasi dan bajet mereka.

CelcomDigi juga akan bekerjasama dengan perniagaan pada setiap peringkat, daripada mengenal pasti peluang yang berpotensi memberi nilai tinggi dan mengintegrasikan AI dengan sistem sedia ada hingga melaksanakan ejen AI serta mengukur hasil perniagaan. Pendekatan ini memudahkan PKS mengguna pakai AI berteraskan ejen tanpa perlu membangunkan sendiri keseluruhan keupayaan AI dari awal.

Sophia AI turut diperkukuh oleh keupayaan teknologi perusahaan CelcomDigi yang menyeluruh, merangkumi ketersambungan, 5G, teknologi awan, data, keselamatan siber, IoT, automasi dan AI. Seiring evolusi AI, CelcomDigi melihat peluang beralih daripada penggunaan alat AI secara berasingan kepada operasi berkuasakan AI, dengan ejen digital bekerja bersama pekerja untuk terus menambah baik cara perniagaan beroperasi.