Newsroom

CelcomDigi kongsi strategi ESG lima tahun memfokuskan pembinaan masyarakat digital yang inklusif, mampan, dan dipercayai

July 16, 2024

Membentangkan laporan Kaji Selidik Kesedaran Scam Kebangsaan 2024, memperincikan maklumat untukmeningkatkan langkah-langkah perlindungan

PETALING JAYA, 16 JULAI 2024 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) hari ini berkongsi strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) lima tahunnya, yang dirangka untuk memajukan inisiatif kelestarian dan meningkatkan kepercayaan sebagai asas pembinaan masyarakat digital. Strategi tersebut memperlihatkan kesungguhan syarikat dalam memperluaskan usaha menangani isu kelestarian dalam jangka pendek dan jangka panjang berkaitan dengan sektor telekomunikasi melalui perniagaannya.

Pada persidangan ESG Day 2024 sulungnya, CelcomDigi mengumumkan bahawa strategi ESGnya bertumpu kepada empat bidang dalam membina masyarakat digital yang inklusif, mampan dan dipercayai. Bidang-bidang tersebut menitikberatkan keseimbangan antara membina hasil yang positif untuk masyarakat, mengurus impak alam sekitar untuk masa hadapan yang lebih bersih serta mengendalikan perniagaan secara bertanggungjawab. Bidang tumpuan ini berpandukan standard ESG global seperti Inisiatif Pelaporan Global (GRI), Lembaga Piawaian Perakaunan Kelestarian (SASB), Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) dan Metrik ESG GSMA untuk industri mudah alih. Empat bidang tumpuan tersebut adalah:  

  • Menyediakan Akses Digital yang Inklusif dan Selamat untuk semua rakyat Malaysia;
  • Mengekalkan Rantaian Nilai yang Mampan;
  • Membina Budaya Tadbir Urus dan Prestasi yang baik; dan
  • Mengurus Kesan dan Tindakan terhadap Alam Sekitar

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata, “Sebagai pengendali telekomunikasi terbesar di negara, kami memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat dan perniagaan. Didorong oleh prinsip pemerkasaan melalui akses, kami memberi tumpuan terhadap penyediaan rangkaian yang luas dan berkualiti tinggi bagi membolehkan penggunaan pelbagai perkhidmatan serta aplikasi dengan selamat dan berpatutan.Ini merupakan syarat utama untuk membina masyarakat digital yang berkembang maju. Begitu juga dengan komitmen kami untuk menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab. Kami banyak meneliti usaha terhadap semua bidang yang memberi impak kepada masyarakat, melaksanakan tanggungjawab terhadap pihak berkepentingan, dan kewajipan untuk mengamalkan standard tadbir urus korporat yang tinggi."

“Pemacu utama untuk melaksanakan strategi yang dinyatakan adalah dengan memanfaatkan kelebihan skala dan sinergi penggabungan kami. Kami telah memulakan aktiviti integrasi dan transformasi yang meluas merentasi operasi perniagaan, termasuk integrasi dan pemodenan rangkaian serta infrastruktur IT di seluruh negara, pemodenan pusat data, peningkatan keselamatan siber, penubuhan CelcomDigi AI Experience Centre (AiX), transformasi jualan dan jenama.. Secara khusus, memodenkan rangkaian dengan keupayaan cekap tenaga dan boleh diperbaharui yang terkini akan melancarkan lagi usaha peralihan kami ke operasi rendah karbon. Selain itu, kami juga melabur dalam pelbagai program komuniti untuk mengurangkan risiko sosial dan memajukan pemerkasaan digital, seperti inisiatif Anti-Scam, Keselamatan Internet, Kemahiran Masa Hadapan, dan Pembangunan Vendor. Dengan gabungan pelaburan tersebut, kami yakin dapat memenuhi komitmen ESG kami dalam tempoh lima tahun akan datang.”  

Membina kepercayaan dalam era serba digital

CelcomDigi turut melancarkan laporan Kaji Selidik Kesedaran Scam Kebangsaan 2024 semasa persidangan tersebut sebagai salah satu usaha berterusan dalam memerangi jenayah scam dan aktiviti penipuan yang telah menjadi antara wabak sosial paling mendesak kini. Menangani isu ini adalah penting untuk membina dan mengekalkan kepercayaan dalam era serba digital. Laporan kaji selidik tersebut memberikan data yang komprehensif di samping maklumat yang boleh dimanfaatkan oleh media, agensi penguatkuasaan, badan kerajaan dan orang ramai untuk meningkatkan kewaspadaan serta menyelaraskan inisiatif pendidikan yang boleh menangani jurang tertentu dalam membina kesedaran terhadap scam serta langkah-langkah perlindungan.  

Kaji selidik ini melibatkan 10,893 responden daripada komuniti berpendapatan rendah di seluruh negara untuk menilai tahap pemahaman dan daya bingkas mereka terhadap scam. Tumpuan utama yang diselidik adalah pengalaman berkaitan scam, pengetahuan tentang taktik scam, dan langkah pencegahan termasuk perlindungan data peribadi, serta  pengetahuan mengenai talian 997 oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan.

“Sebagai sebuah syarikat yang memberi perkhidmatan kepada lebih 20 juta pelanggan, kami bertanggungjawab untuk melindungi keselamatan dan kepercayaan pelanggan kami. Dalam menangani scam, misi kami adalah jelas iaitu untuk BERTINDAK  atau ACT (Awareness, Compliance, Technology), yakni untuk mewujudkan kesedaran, memacu pematuhan terhadap standard keselamatan yang tinggi di dalam syarikat di samping menyokong agensi penguatkuasa, serta memanfaatkan kemajuan teknologi bagi membina perlindungan terhadap jenayah siber. Berpandukan laporan tersebut, kami dapat membentuk usaha secara strategik untuk menangani epidemik ini, mengukuhkan kepercayaan, dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat buat rakyat Malaysia. Kami percaya bahawa tindakan berskala besar melalui usaha kerjasama adalah kunci untuk membanteras isu ini dan kami akan terus memperjuangkan pendekatan yang melibatkan keseluruhan masyarakat dalam memerangi scam serta aktiviti penipuan dengan lebih efektif,” ujar Idham.

Membincangkan topik ini secara mendalam, persidangan ESG Day 2024 syarikat itu menampilkan sesi panel bersama Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial ACP Lai Lee Ching, Pengurus BNMLINK Bank Negara Malaysia Vijayadurai Singgatore dan Ketua Operasi Malaysiakini Tham Seen Hau. Persidangan ini juga mempamerkan inisiatif utama ESG yang diperjuangkan dengan kerjasama pelbagai rakan kongsi termasuk PDRM, Unicef, Akademi Arus, NaDi, dan rakan kongsi teknologi.

Laporan Kaji Selidik Kesedaran Scam Kebangsaan 2024 CelcomDigi boleh didapati DI SINI dan di platform media sosial untuk makluman orang ramai. Untuk maklumat lanjut mengenai tumpuan keutamaan ESG CelcomDigi, tonton video DI SINI.