Newsroom

CelcomDigi dan SK Telecom Memeterai MoU untuk membangunkan Ekosistem Metaverse di Malaysia

March 1, 2023

PETALING JAYA, 1 ​​MAC 2023 – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) dan SK Telecom, pengendali telekomunikasi tanpa wayar Korea Selatan yang terkemuka, telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka dan membangunkan Platform Metaverse Mudah Alih pertama di Malaysia yang diterajui oleh pengendali. Di bawah MOU berkenaan, kedua-dua syarikat akan mencipta peluang perniagaan baharu menerusi kolaborasi untuk membangunkan dan menawarkan kes-kes kegunaan metaverse dan kecerdasan buatan (AI) yang dioptimumkan untuk pasaran Malaysia, melalui Pusat Inovasi CelcomDigi.

Dengan memanfaatkan proses pengkomputeran pinggir (edge computing) untuk pengalaman kependaman yang terbaik, pembangunan Platform Metaverse Mudah Alih pertama di Malaysia yang diterajui oleh pengendali turut mendorong penciptaan bersama, serta menawarkan kandungan dan perkhidmatan Metaverse baharu untuk pelanggan dan perniagaan di Malaysia. CelcomDigi dan SK Telecom akan meneroka penciptaan perkhidmatan Metaverse merentasi vertikal-vertikal seperti pendidikan, kesihatan, peruncitan dan hiburan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan Ekosistem Metaverse di Malaysia.  

Memorandum Persefahaman (MOU) berkenaan ditandatangani pada Kongres Dunia Mudah Alih 2023 di Barcelona oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Berhad, Datuk Idham Nawawi, dan Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom, Young-sang Ryu.

Mengulas tentang kerjasama itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkongsi, “Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan syarikat ICT global terkemuka, SK Telecom untuk membangungkan ekosistem Metaverse di Malaysia. Kerjasama ini akan menjadikan kami pelopor dalam pembangunan perkhidmatan Metaverse yang inovatif untuk Malaysia dengan memanfaatkan teknologi terkini, termasuk 5G. Kerjasama ini adalah sebahagian daripada perjalanan kami untuk menjadi syarikat telekomunikasi dan teknologi yang terkemuka di Malaysia. Kami berazam untuk berpadu tenaga dengan lebih banyak organisasi tempatan untuk mencipta kes kegunaan inovatif yang akan menyemarakkan pertumbuhan ekonomi digital negara.”

Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom, Ryu Youngsang berkata, “Ketika kami melebarkan sayap ke pasaran global dengan platform metaverse ifland kami, syarikat-syarikat telekomunikasi utama di negara-negara dan rantau Asia Tenggara memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi kami. Melangkah ke hadapan, kami akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat ini untuk mengembangkan skop perkhidmatan metaverse kami.”