Newsroom

CelcomDigi dan Kulim Technology Park Corporation tandatangan perkongsian jangka panjang bagi menjana pertumbuhan industri fasa baru Kedah

November 2, 2026

Kontrak strategik 15 tahun menyedia infrastruktur penting keterhubungan untuk industri utama

KULIM, KEDAH, 30 Oktober 2026 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) dan Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (“KTPC”) hari ini menandatangani perjanjian strategik selama 15 tahun untuk menyediakan sambungan gentian optik di Zon Perindustrian Fasa 4A (“IZP 4A”) Kulim Hi-Tech Park (“KHTP”). Perkongsian ini membolehkan CelcomDigi memperluaskan infrastruktur gentian optik serta kepakarannya dalam penyelesaian ketersambungan perusahaan bagi menyokong pelbagai operasi dan usaha pendigitalan di zon perindustrian baharu tersebut.

Sejak penubuhannya pada tahun 1996, KHTP telah berkembang menjadi hab perindustrian utama di Kedah, menarik pelaburan serta menyokong peluang pekerjaan menerusi kehadiran pelbagai aktiviti pembuatan berteknologi tinggi. Menurut KTPC, taman perindustrian ini telah mencatat pelaburan terkumpul berjumlah RM189.4 bilion dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 48,813 tenaga kerja setakat suku kedua tahun 2026.

Seiring dengan pengembangan KHTP yang berterusan, ketersambungan berkapasiti tinggi yang boleh dipercayai menjadi semakin penting bagi pengeluar yang beroperasi dalam persekitaran yang saling berhubung secara digital. Menerusi perkongsian ini, CelcomDigi akan menguruskan infrastruktur saluran gentian optik di IZP 4A serta menyediakan pelbagai penyelesaian perusahaan kepada penyewa baharu, termasuk Dedicated Internet Access (DIA), Private Leased Lines (PLL), IPVPN, Managed Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM) dan perkhidmatan Managed Fibre. Seiring pembangunan IZP 4A, perkongsian ini akan menyokong keperluan penyewa melalui penyelesaian ketersambungan yang disesuaikan mengikut keperluan mereka yang sentiasa berkembang.

Meyumbangan kepada pertumbuhan Wilayah Ekonomi Koridor Utara

Perkongsian ini juga selari dengan aspirasi pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), yang merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Melalui kerjasama dengan KTPC ini, CelcomDigi berhasrat untuk menyokong potensi pelaburan di Koridor Utara dan memperkukuh pertumbuhan lebih banyak industri berteraskan teknologi di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTPC, Dato’ Mohd Sahil Zabidi berkata, “Pembangunan berterusan KHTP bukan sekadar memperluas kapasiti perindustrian, tetapi juga mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang, pelaburan terus meningkat dan peluang ekonomi dapat dinikmati oleh masyarakat yang lebih luas. Perkongsian kami dengan CelcomDigi akan membantu memastikan IZP 4A dilengkapi dengan infrastruktur gentian optik yang diperlukan oleh pengeluar baharu bagi menyokong keperluan operasi mereka serta pembangunan jangka panjang taman perindustrian ini. Kami berharap kemajuan ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kedah, mewujudkan lebih banyak peluang kepada bakat dan perniagaan tempatan, serta mengukuhkan sumbangan Koridor Utara terhadap masa depan perindustrian Malaysia.”

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, T Kugan berkata, “Ketersambungan digital merupakan pemangkin penting kepada kemajuan ekonomi Malaysia, membantu perniagaan meningkatkan daya saing dan membolehkan industri terus berkembang. Peranan kami bukan sekadar menyediakan ketersambungan, tetapi juga membangunkan asas digital yang diperlukan oleh perniagaan dan industri untuk berkembang. Perkongsian dengan KTPC ini mencerminkan komitmen tersebut, dengan membawa infrastruktur gentian optik dan keupayaan perusahaan kami ke KHTP Fasa 4A bagi menyokong aspirasi perindustrian Kedah serta pembangunan berterusan Koridor Utara. Pada akhirnya, kami mahu membantu mewujudkan persekitaran yang membolehkan perniagaan berkembang maju, pelaburan terus meningkat dan manfaat pendigitalan dapat menyumbang kepada kemajuan Malaysia serta kesejahteraan rakyatnya.”

‍