Newsroom

CelcomDigi dan DHL Supply Chain merevolusikan logistik dengan Gudang Autonomi AI dikuasakan 5G yang pertama di Malaysia

October 12, 2023
  • Penyelesaian pengurusan inventori automatik yang menggunakan Drone Autonomi yang dipacu 5G dan AI
  • Kecekapan dan produktiviti pengurusan inventori gudang akan meningkat secara ketara

SHAH ALAM, 12 Oktober 2023 – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) telah bekerjasama dengan DHL Supply Chain Malaysia (DHL), peneraju pasaran global untuk penyelesaian logistik kontrak, untuk mengendalikan Sistem Pengurusan Inventori Autonomi Kecerdasan Buatan (AI) dikuasakan 5G yang pertama di Malaysia. Dengan sokongan rangkaian 4G LTE dan sambungan 5G CelcomDigi, Pusat Logistik DHL yang terletak di Shah Alam kini dilengkapi dengan penyelesaian AI dan robotik terkini, untuk pengurusan inventori yang optimum dan cekap.

Kerjasama CelcomDigi dengan DHL tersebut dilaksanakan menerusi Pusat Inovasi CelcomDigi yang baru ditubuhkan. Ia memanfaatkan teknologi 5G dan penyelesaian AI untuk mencipta sistem pengurusan inventori robotik, yang menyediakan pengurusan gudang multi-tingkat yang lebih baik dan cekap pada tahap optimum. Dengan memanfaatkan potensi dron autonomi, DHL melaksanakan pengurusan inventori harian dan tugasan operasi dengan penyelesaian pengiraan stok automatik dan teknologi visi komputer secara bebas untuk mencegah ralat manusia. Penyelesaian itu akan meningkatkan kecekapan operasi pengiraan stok sehingga 20 kali ganda dan ketepatan sehingga 100%. Malah, ia akan mengoptimumkan penggunaan ruang dalam gudang dan mengurangkan penggunaan elektrik harian.

Kerjasama itu adalah satu inisiatif penting untuk merealisasikan sinergi antara pelbagai industri, dan menyampaikan operasi logistik yang dipertingkatkan dalam ekosistem digital yang dipacu AI. CelcomDigi dan DHL akan meneruskan kerjasama bagi menilai pelaksanaan dron autonomi AI dan sistem pengurusan inventori robotik yang dikuasakan 5G merentasi semua gudang DHL di seluruh negara. Sistem pengurusan inventori baharu tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil.  

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata “Kerjasama antara Pusat Inovasi kami dan DHL mencerminkan nilai sebenar dan manfaat teknologi 5G, robotik dan AI. Ia sebahagian usaha berterusan kami untuk memacu penerapan dan pembolehan 5G secara cekap merentasi perusahaan dan ekosistem digital Malaysia. Dengan menyatukan dua industri berbeza, yang sama-sama memperjuangkan inovasi dan transformasi digital melalui peningkatan produktiviti dan penyelesaian digital yang canggih, kami telah merevolusikan logistik gudang dengan operasi harian yang lebih cekap. Kami komited untuk membina ekosistem digital yang paling inovatif di negara dengan membina sinergi baharu antara industri yang berbeza, serta melaksanakan penyelesaian yang lebih inovatif bagi memacu kecekapan dan pertumbuhan, sekali gus membolehkan perniagaan Malaysia memainkan peranan penting dalam revolusi digital dan ekonomi digital global.  

Pengarah Urusan Negara, DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz mengulas, “Kerjasama ini melambangkan permulaan era baharu dalam landskap logistik dan telekomunikasi. Sistem Inventori Autonomi AI kami yang dikuasakan 5G bukan sekadar satu pencapaian, tetapi bukti potensi yang mampu direalisasikan apabila pemimpin-pemimpin industri berpadu tenaga untuk menolak sempadan inovasi.”