Kota Bharu, 12 September 2023 – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) telah memulakan siri Bengkel Digital Usahawan MY5G dengan penganjuran bengkel yang pertama di Kota Bharu, Kelantan. Program bengkel ini memberi peluang kepada usahawan mikro dan kecil untuk mempelajari dan mengenal pasti teknologi dan penyelesaian digital yang sesuai bagi mereka memulakan usaha pendigitalan perniagaan, lebih lagi dengan penggunaan rangkaian 5G yang sedang diperluaskan di seluruh negara.
Diadakan dengan kerjasama SME Corp, Astro, Lazada, TikTok Shop, Kumpulan Siti Khadijah, Touch 'n Go eWallet and WarongKu, Bengkel Digital Usahawan MY5G adalah sebuah program praktikal yang bertujuan untuk melengkapi peserta dengan alat dan kemahiran yang relevan seterusnya membantu mereka mengorak langkah pertama dalam pendigitalan perniagaan. Peserta bengkel ini juga berpeluang untuk mendengar pandangan dan pengalaman daripada beberapa kisah kejayaan usahawan yang telah mendigitalkan perniagaan mereka serta tips dari rakan program.
Bengkel pertama yang diadakan di Kota Bharu menyaksikan Padzilah Enda Sulaiman, pengasas Siti Khadijah bersama Mohammad Munzir Aminuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah berkongsi pengalaman bagaimana keputusan untuk mendigitalkan perniagaan mereka telah berjaya menaikkan syarikat ke tahap kejayaan yang mereka nikmati hari ini. Para penceramah juga membincangkan pelbagai topik yang dapat membantu preusahaan mikro dan kecil dengan perjalanan pendigitalan mereka, daripada pembiayaan, pengurusan dan pengendalian operasi perniagaan dalam talian, kepada memperkasa kehadiran jenama di ruang dalam talian dan menarik pelanggan melalui media sosial serta pengenalan kepada e-dagang.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Afizulazha Abdullah yang melancarkan Bengkel Digital Usahawan MY5G, berkata ia bukan lagi mengenai mengapa usahawan mikro dan kecil perlu mendigitalkan perniagaan mereka tetapi bagaimana mereka boleh melakukannya dengan kadar segera untuk lebih berdaya saing serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam menguruskan perniagaan .
“CelcomDigi percaya bahawa pendigitalan boleh membuka pelbagai peluang bagi usahawan mikro dan kecil di Malaysia termasuk mendorong mereka untuk berada di hadapan dan lebih berdaya saing dalam pasaran tempatan mahupun global. Selain itu, mereka juga perlu segera memanfaatkan teknologi dan ciri-ciri yang didatangkan bersama penyambungan 5G yang sedang disediakan di seluruh negara, untuk terus berinovasi dan membina kehadiran kukuh dalam pasaran digital.
“Sebagai rakan digital yang dipercayai, kami ingin memastikan bahawa tiada siapa yang akan ketinggalan. Kami amat komited untuk terus menyokong mereka dalam usaha pendigitalan perniagaan dengan menyediakan panduan serta sokongan dalam semua aspek melalui inisiatif seperti Bengkel Digital Usahawan MY5G ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan program kami yang telah sama-sama menyusun program ini dengan modul-modul yang relevan serta perkongsian pengalaman untuk membantu peserta bengkel menerima pakai pendigitalan dengan segera.”
Bengkel Digital PKS MY5G ini adalah sebahagian daripada Siri CelcomDigi MY5G, yang merangkumi program MY5G CEO Roundtable, serta persidangan perniagaan dan pameran teknologi 5G untuk semua badan korporat dan PKS besar yang bakal diadakan di Kuala Lumpur. Ini ada sebahagian daripada usaha CelcomDigi untuk membantu perniagaan merealisasikan faedah pendigitalan serta penggunaan dan aplikasi 5G.
Bengkel Digital Usahawan MY5G 2023 yang seterusnya akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada bulan November dan Alor Setar, Kedah dibulan Disember
CelcomDigi kini menawarkan sambungan 5G melalui kempen Jom 5G Malaysiaku. Ianya merangkumi pelbagai tawaran produk menarik merentas pelan Pascabayar, Prabayar dan Perniagaan, serta pakej peranti dengan telefon 5G untuk pengguna Celcom dan Digi terus berhubung dengan mudah dengan menggunakan teknologi 5G.
© Copyright 2024 CelcomDigi Berhad (Formerly known as Digi.Com Berhad) [Registration No. 199701009694 (425190-X)]. All Rights Reserved.