Newsroom

CelcomDigi berbangga dilantik sebagai rakan strategik MITI bagi menyokong Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025

May 13, 2025

PETALING JAYA, 13 Mei 2025 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) telah dilantik sebagai Rakan Strategik Rasmi kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menyokong Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.

Sebagai Rakan Strategik dan penyedia utama perkhidmatan rangkaian, CelcomDigi akan memastikan pengalaman rangkaian yang lancar sepanjang acara berlangsung, mempamerkan teknologi canggih yang boleh digunakan menerusi Pusat Pengalaman AI (AiX), serta menyumbang kepada perbincangan dasar mengenai kerangka digital serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, “Kerjasama ini melangkaui sekadar penyediaan sambungan rangkaian. Ia mencerminkan komitmen CelcomDigi dalam memastikan keutamaan negara dan untuk juga memastikan Malaysia menawarkan pengalaman bertaraf dunia sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN. Untuk merealisasikan visi ini, sinergi dan kerjasama erat diperlukan diantara sektor awam dan swasta demi kejayaan acara ASEAN, serta mempamerkan keupayaan digital, inovasi dan kepimpinan serantau negara.”

Antara inisiatif utama yang akan disediakan CelcomDigi kepada para delegasi ASEAN termasuk Kad SIM Pelancong 5G bertemakan ASEAN yang eksklusif sebagai tanda kenang-kenangan acara ini. Kad SIM ini boleh didapati di semua pintu masuk Malaysia dan menawarkan data tanpa had serta panggilan antarabangsa percuma ke seluruh negara ASEAN, memastikan para delegasi kekal berhubung sepanjang berada di Malaysia. Syarikat ini juga akan menyediakan sambungan berkelajuan tinggi di lokasi mesyuarat, penyelesaian rangkaian luar untuk acara berskala besar, serta akses 5G dalam kenderaan rasmi bagi delegasi dan pegawai utama.

Para delegasi ASEAN juga berpeluang mengunjungi AiX CelcomDigi, satu pengalaman inovasi imersif yang dibangunkan bersama lebih 40 rakan teknologi global dan rakan ekosistem tempatan. AiX menampilkan 45 kes penggunaan yang sedia untuk dilaksanakan merentasi lapan industri utama termasuk pembuatan, tenaga, logistik dan bandar pintar, dengan pelbagai projek rintis sedang dijalankan bersama syarikat-syarikat tempatan. Syarikat ini berhasrat untuk mempamerkan kebolehan inovasi tempatan yang boleh dieksport, diskalakan dan dikolaborasikan, sekali gus membuka peluang untuk inisiatif rentas sempadan pada masa depan demi menyumbang kepada masa depan digital ASEAN yang inklusif.

Selari dengan inisiatif ini, CelcomDigi juga akan menyumbang kepada perbincangan dasar mengenai pemajuan inovasi dalam bidang AI, robotik dan pembangunan bakat digital, di samping memperkukuhkan keselamatan siber dan kesedaran mengenai penipuan digital bagi membina ekosistem digital yang dipercayai merentasi ASEAN. Usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk masa depan yang inklusif, mampan dan didayakan secara digital.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, sila layari: https://myasean2025.my/