Newsroom

BSN digitalisasikan Ejen Bank bagi pengalaman pelanggan yang lebih baik, dipacu oleh CelcomDigi

July 24, 2024

PETALING JAYA, 24 JULAI 2024 – Bank Simpanan Nasional ("BSN") dan CelcomDigi Berhad ("CelcomDigi") hari ini mengumumkan kerjasama strategik selama 5 tahun untuk mendigitalisasikan Ejen Bank BSN, satu pencapaian penting dalam perjalanan pendigitalan BSN yang berterusan. Di bawah kerjasama ini, CelcomDigi akan menyediakan infrastruktur dan penyelesaian sistem Perbankan Ejen yang komprehensif untuk memodenisasi dan meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan Ejen Bank BSN. Dengan sambungan Internet berkelajuan tinggi yang lebih pantas dan konsisten, Ejen Bank BSN akan dapat menyediakan perkhidmatan perbankan digital yang lebih mantap kepada pelanggan.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid dan Ketua Pegawai Perniagaan Enterprise CelcomDigi, Afizulazha Abdullah, serta disaksikan oleh Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi pada satu majlis yang diadakan di Menara CelcomDigi di Petaling Jaya. Rakan teknologi, Silverlake turut hadir untuk menyaksikan majlis tersebut.

Fasa pertama kerjasama ini akan melihat lebih daripada 2,300 Ejen Bank di seluruh negara dilengkapi dengan penyelesaian sambungan CelcomDigi 5G serta peranti baru. Ini termasuk sokongan teknikal khusus yang akan meningkatkan keupayaan bank ejen untuk menawarkan perkhidmatan perbankan moden dengan cekap dengan memanfaatkan rangkaian CelcomDigi yang terluas dan terpantas. Di bawah perjanjian ini juga, CelcomDigi dan BSN akan bekerjasama dan meneroka lebih banyak peluang untuk meningkatkan infrastruktur sistem Ejen Bank dengan teknologi berkaitan 5G yang terkini, di samping memperluaskan portfolio produk dan perkhidmatan bank dengan perkhidmatan dan tawaran perbankan digital yang baru.

Ejen Bank BSN adalah perkhidmatan perbankan alternatif yang disediakan oleh BSN untuk memudahkan rakyat Malaysia di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan perbankan yang komprehensif melalui rangkaian ejen bank berdaftar.

Jay Khairil, Ketua Pegawai Eksekutif BSN berkata, "Ejen Bank BSN adalah pemacu utama dalam mengembangkan akses kepada perkhidmatan kewangan, terutamanya di kalangan komuniti yang sukar mendapat perkhidmatan. BSN berbesar hati untuk bekerjasama dengan CelcomDigi dengan memanfaatkan teknologi dan infrastruktur yang lebih kukuh untuk meningkatkan lagi perkhidmatan Ejen Bank BSN. Ini juga selaras dengan aspirasi teras Bank untuk memajukan perbankan inklusif."

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, "Perbankan digital adalah teras kepada masyarakat digital. Kami teruja untuk bekerjasama dengan BSN untuk mendigitalisasikan Ejen Bank dalam memenuhi cita-cita bersama kami untuk mengutamakan keperluan pelanggan dan memastikan semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan. CelcomDigi amat komited untuk menyokong transformasi digital Ejen  

BSN yang membolehkan akses perkhidmatan perbankan yang lebih pantas dan lancar, menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam era digital ini. Kami berharap untuk meneroka lebih banyak inisiatif inovatif yang memanfaatkan teknologi 5G bersama BSN, sekaligus meletakkan BSN di barisan hadapan perbankan digital di Malaysia."