Newsroom

Bengkel Digital Usahawan MY5G 2025 CelcomDigi kembali untuk memperkasa PKS Malaysia dengan kemahiran dan penyelesaian digital

July 4, 2025

Pendaftaran kini dibuka bagi usahawan yang bersedia untuk memulakan perjalanan pendigitalan mereka.

PETALING JAYA, 4 Julai 2025 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) sekali lagi akan menganjurkan Bengkel Digital Usahawan MY5G 2025 yang bertujuan mempercepatkan proses transformasi pendigitalan perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) di seluruh Malaysia. Siri ini adalah khusus untuk membantu PKS di seluruh negara dengan pemahaman dan kemahiran praktikal untuk memulakan perjalanan pendigitalan mereka dengan lebih mudah dan pantas. Pendaftaran kini dibuka kepada usahawan yang bersedia untuk mengambil langkah pertama ke arah penggunaan digital.

Bengkel digital ini akan bermula pada 8 Julai 2025 di Kuala Terengganu dan akan diteruskan ke beberapa bandar utama termasuk Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching sepanjang tahun ini. Setiap bengkel dijangka menerima kehadiran kira-kira 400 PKS dan akan memanfaatkan rangkaian rakan industri yang kukuh seperti Bank Simpanan Nasional, Commerze Capital, Funding Societies Malaysia, Hannan Medispa, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), dan TikTok Shop.

Selaras dengan tema tahun ini, ‘Daripada Tradisional ke Digital: Bagaimana PKS Boleh Memulakan Perjalanan’, peserta bengkel akan menyertai sesi interaktif bersama penyedia teknologi di mana mereka akan mendapat peluang untuk memperoleh pengetahuan praktikal mengenai penyelesaian berkuasa 5G bagi memulakan perjalanan pendigitalan mereka dengan lebih pantas dan penuh keyakinan. Usaha ini mencerminkan komitmen CelcomDigi untuk menjadi rakan digital yang dipercayai dalam menyokong perjalanan transformasi pendigitalan PKS.  

Siri tahun ini turut memperkenalkan tiga pengalaman baharu untuk para usahawan iaitu – Business Matching, Live Streaming oleh TikTok Shop dan Arena Usahawan. Sesi business matching memberi peluang kepada para usahawan untuk berkenalan, bertukar pandangan, dan meneroka potensi kerjasama. Dalam sesi penstriman langsung, PKS akan menerima bimbingan secara langsung untuk menghasil dan menerbitkan kandungan sosial komersial pertama di TikTok Shop, sekaligus memperkasakan mereka dengan kemahiran digital yang praktikal. Selain itu, Arena Usahawan merupakan ruang khas yang direka untuk membantu PKS mendapat akses  kepada pembiayaan dan sokongan daripada institusi kewangan, geran kerajaan hingga ke pemboleh daya ekosistem.  

Maklumat lanjut mengenai MY5G Bengkel Digital Usahawan 2025 boleh didapati di laman web CelcomDigi business. Pendaftaran kini dibuka, dan peserta boleh mengesahkan kehadiran mereka DI SINI.